P Pinang ada deposit REE bernilai hampir RM100 bilion

P Pinang ada deposit REE bernilai hampir RM100 bilion

Kerajaan negeri mendedahkan, 4 kawasan telah dikenal pasti mempunyai deposit REE bukan radioaktif berjumlah kira-kira 1.7 juta tan metrik.

Exco Pulau Pinang Sundarajoo Somu berkata, penemuan deposit REE bukan radioaktif di negeri itu adalah berdasarkan kaedah sumber teragak (inferred resource). (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Deposit unsur nadir bumi (REE) bernilai hampir RM100 bilion telah ditemukan di seluruh negeri, menurut kerajaan Pulau Pinang.

Jabatan Mineral dan Geosains mengenal pasti empat kawasan – Teluk Bahang, Balik Pulau, Bukit Mertajam dan Bukit Panchor (Nibong Tebal) – mempunyai deposit REE bukan radioaktif yang ketara, berjumlah kira-kira 1.7 juta tan metrik.

Exco kerajaan negeri Sundarajoo Somu berkata, penemuan itu dibuat berdasarkan kaedah sumber teragak (inferred resource) dan sebarang rancangan akan bergantung kepada keputusan kajian terperinci.

Sumber teragak merujuk kepada anggaran sumber semula jadi berdasarkan bukti geologi, tetapi tidak begitu diyakini seperti kategori anggaran lain. Istilah ini lazim digunakan dalam konteks perlombongan atau penerokaan tenaga.

“Rancangan bagi memajukan sumber REE bukan radioaktif bergantung kepada keputusan kajian terperinci bagi menilai aspek-aspek geologi seperti ketebalan profil luluhawa dan zon pengayaan (sumber),” kata Sundarajoo dalam jawapan bertulis DUN.

Faktor lain yang perlu diambil kira termasuk sama ada kawasan yang akan dilombong ialah hutan simpan, kawasan tadahan air atau Kawasan Sensitif Alam Sekitar.

Selain itu, kata Sundarajoo, penguatkuasaan peraturan mineral negeri turut perlu dipertimbangkan sebelum sebarang penerokaan dijalankan.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Air Putih) berhubung potensi REE Pulau Pinang dan pertimbangan kawal selia yang perlu dipatuhi sebelum penerokaan dimulakan.

Pada 2020, Menteri Besar Kedah Sanusi Nor mendakwa sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur menemukan REE bernilai RM62 bilion di Sik, Ulu Muda dan Baling.

Pada 2019, kerajaan persekutuan mendedahkan negara mempunyai rizab mineral bernilai RM732 bilion termasuk arang batu, bijih timah, bijih besi, emas, mangan, pasir silika dan kaolin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.