
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, selepas PRN enam negeri pada 12 Ogos, Bersatu seolah-olah “hilang arah dan semangat”.
“Isu utamanya ialah perbalahan dalaman mengenai siapa yang akan jadi presiden (parti) seterusnya, memandangkan pengaruh Muhyiddin dalam Bersatu sudah lemah,” katanya kepada FMT.
Azmi berkata, tindakan empat Ahli Parlimen Bersatu – Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Azizi Abu Naim (Gua Musang); dan Zahari Kechik (Jeli) – baru-baru ini menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin menjadi pemangkin terakhir.
“Alasan yang mereka berikan (untuk beralih sokongan) adalah disebabkan peruntukan. Tidak, bukan kerana peruntukan, tetapi keempat-empat Ahli Parlimen ini sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Bersatu,” katanya.
Pada perhimpunan agung tahunan Bersatu semalam, Muhyiddin berkata, sudah tiba masanya untuk beliau melepaskan tampuk pimpinan parti, yang mencetuskan laungan “tidak” oleh perwakilan.
Ditanya sama ada keputusan Muhyiddin akan mengukuhkan Bersatu, Azmi bersetuju, dengan syarat parti seterusnya diterajui Hamzah Zainudin, yang kini setiausaha agung.
James Chin daripada Universiti Tasmania sependapat dengan Azmi, mengatakan bahawa “ketegasan” Hamzah sebagai pemimpin akan meletakkan Bersatu pada asas yang lebih kukuh.
Mengenai sebab Muhyiddin memutuskan untuk tidak bertanding pada pemilihan parti akan datang, Chin berkata, masih terlalu awal untuk membuat spekulasi tentangnya. Bagaimanapun, beliau menjangkakan ia disebabkan “terlalu banyak tekanan dalaman” dengan “ramai meminta Hamzah mencabarnya”.
Minggu lepas, FMT memetik Muhyiddin sebagai berkata, beliau sedar wujudnya gesaan agar berlaku perubahan dalam kepimpinan parti. Antara yang menggesa sedemikian termasuk ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Eddin Syazlee Shith yang sebelum ini berkata, rombakan diperlukan untuk mengisi “kekosongan” dalam parti.
Muhyiddin berkata, walaupun pemilihan parti membenarkan ahli memilih pemimpin, beliau bimbang amalan demokrasi seperti itu akan membawa kepada perpecahan dalam Bersatu, “seperti yang berlaku dalam Umno”.
Beberapa pemimpin akar umbi memberitahu FMT, mereka bimbang tentang masa depan parti berikutan pengumuman Muhyiddin bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatannya. Seorang pemimpin akar umbi malah berkata, Muhyiddin harus kekal sebagai presiden paling tidak sehingga selepas PRU16.
Khabar angin mengenai perbalahan antara Muhyiddin dan Hamzah mengenai hala tuju parti mula tersebar pada Jun. Perkara ini dinafikan Ahli Parlimen Ketereh Khlir Nor yang berkata, dakwaan sedemikian direka-reka oleh pesaing parti.
Muhyiddin, yang menjadi perdana menteri dari 2020 hingga 2021, memberitahu FMT, beliau telah “melatih” Hamzah dengan menjadikannya ketua pembangkang, peranan yang secara tradisinya dipegang oleh ketua parti atau gabungan.