Kongres PKR medan hidup semangat menteri ‘tak menonjol’

Kongres PKR medan hidup semangat menteri ‘tak menonjol’

Ramai beranggapan prestasi anggota Jemaah Menteri dari PKR perlu ditingkatkan pada tahun kedua pentadbiran Anwar Ibrahim.

Kongres PKR 2023 diadakan genap setahun selepas Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.
PETALING JAYA:
Tanggapan menteri Kabinet dari PKR yang tidak menonjol, dijangka hangat diperdebatkan pada Kongres PKR 2023, diadakan sehari selepas genap setahun pentadbiran Anwar Ibrahim, kata penganalisis politik.

Selain Anwar yang turut memegang portfolio kewangan, wakil PKR dalam Jemaah Menteri turut membabitkan Timbalan Presiden Rafizi Ramli (hal ehwal ekonomi), dan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail (dalam negeri).

Dua naib presiden Nik Nazmi Nik Ahmad (sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim) serta Chang Lih Kang (sains dan teknologi), Ketua Penerangan Fahmi Fadzil (komunikasi dan digital serta jurucakap kerajaan), Ketua Wanita Fadhlina Sidek (pendidikan) dan Dr Zaliha Mustafa (kesihatan).

Penganalisis politik Jayum Jawan daripada Universiti Putra Malaysia berkata prestasi menteri PKR ketika ini dilihat tidak begitu menonjol berdasarkan pandangan awam dan sesuatu perlu dilakukan untuk mengejutkan mereka daripada ‘lamunan’.

Kritikan itu termasuk daripada rakan kerajaan perpaduan, misalnya Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi yang mempersoalkan Rafizi dalam usaha pemulihan ekonomi negara termasuk pengenalan dasar meningkatkan “ekonomi rakyat”.

“Penting bagi PKR membakar semangat untuk meningkatkan lagi prestasi kepimpinan mereka (terutama memegang jawatan menteri) menjelang tahun kedua pentadbiran kerajaan perpaduan,” kata Jayum kepada FMT mengulas Kongres PKR 2023 bermula hari ini hingga Ahad

Setahun lalu, Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri iaitu kemuncak kepada usaha selama 24 tahun PKR yang dahulunya dikenali Parti Keadilan Nasional, namun terpaksa dilakukan dengan bergabung bersama musuhnya dahulu Barisan Nasional (BN) di bawah panji kerajaan perpaduan.

Kerajaan itu juga dianggotai Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia, selain disokong empat Ahli Parlimen Bersatu.

Mereka adalah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Sementara itu, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berpendapat Kongres PKR harus disusuli dengan langkah dinanti ramai iaitu rombakan Kabinet membabitkan portfolio penting berkaitan ekonomi serta kos sara hidup rakyat.

“Supaya mereka lebih berkelayakan di portfolio kritikal, kalau kekalkan barisan sedia ada pada tahun kedua mungkin masalah lebih teruk,” katanya.

Beliau menjangkakan perbahasan hangat perwakilan dan pimpinan membabitkan pencapaian setahun kerajaan Anwar dan tindakan empat Ahli Bersatu menyokong Anwar.

“(Turut akan dibahas) prestasi kerajaan dan keluhan rakyat dalam isu kos sara hidup….sebenarnya ada tetapi tidak diterangkan agensi bertanggungjawab seperti Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) jadi maklumat tak sampai ke bawah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.