
Ketika berucap dalam Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR 2023, Exco Majlis Pimpinan Pusat PKR Sandrea Ng, berkata ketika ini masih berlaku ketidakseimbangan dan ketidakadilan dalam pelbagai aspek termasuk tempat kerja, pendidikan, dan dalam kalangan masyarakat kesan tahap sensitiviti gender rendah.
Ng berkata, malah ketidakseimbangan turut berlaku di institusi legislatif iaitu di Dewan Rakyat yang sungguh mengecewakan golongan wanita kerana masih terdapat beberapa ahli politik berfikiran “zaman purba”.
Beliau yang juga exco perumahan dan kerajaan tempatan Perak, berkata dalam sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini sahaja, sekurang-kurangnya tiga Ahli Parlimen pembangkang dikesan mengeluarkan kenyataan seksis dan lucah sehingga mengguris hati golongan wanita.
“Saya ingin menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap semua kenyataan tersebut kerana tindak-tanduk ini adalah tidak bertanggungjawab malah membentuk budaya buli kepada kaum wanita dalam arena politik,” katanya pada Ucapan Refleksi Pimpinan Wanita PKR dalam perspektif kerajaan sempena kongres itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Ng, yang juga pengarah komunikasi PKR Perak, berkata justeru semua ahli politik wanita malah lelaki harus bersatu padu dalam isu berkenaan untuk mengecam tingkah laku memperlekehkan golongan wanita.
Sementara itu, dalam sesi perbahasan kongres itu perkara berkaitan memperkasakan serta memberi kesaksamaan kepada golongan wanita dalam pelbagai aspek dan institusi pentadbiran turut dibangkitkan beberapa perwakilan Wanita PKR.
Antaranya, Wanita PKR Selangor yang diwakili Ainul Aizura Ahsan menggesa negara ini melakukan lebih banyak promosi dan merealisasikan kesaksamaan jantina dan melindungi setiap hak golongan wanita.
“Ini termasuk menerapkan seluasnya undang-undang melawan diskriminasi gender di semua lapangan dan keganasan dalam rumah tangga serta meningkatkan representasi di badan-badan legislatif dan posisi kepimpinan lainnya,” katanya.
Perwakilan dari Terengganu, Ramlah Saleh pula berkata pihak institusi dan agensi perlu memastikan serta berkewajipan untuk mengukur kesetaraan mengenai kemajuan wanita dalam pencapaian mereka tanpa mengira jantina.
“Wanita juga perlu diberi keadilan mengikut kelayakan untuk berada di tempat yang selayaknya,” katanya.