12 masjid WP jadi pusat aduan, kaunseling mangsa keganasan rumah tangga

12 masjid WP jadi pusat aduan, kaunseling mangsa keganasan rumah tangga

Inisiatif ini memperluaskan fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai kemudahan meliputi keperluan psikososial dan kerohanian.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri, berkata inisiatif itu bagi memperluaskan fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat.
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 12 masjid di Wilayah Persekutuan diberi peranan sebagai pusat aduan dan khidmat kaunseling kepada mangsa keganasan rumah tangga yang memerlukan khidmat nasihat, sokongan psikologi, dan kaunseling.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri, berkata selain itu dua masjid, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Masjid Al-Ghufran di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pula diberi peranan sebagai pusat transit bagi membolehkan mangsa mendapatkan perlindungan.

“Inisiatif ini dilaksanakan bagi memperluaskan fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai kemudahan meliputi keperluan psikososial dan kerohanian,” katanya, dalam ucapan pada sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2023.

Nancy berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan sejak 2021 di bawah pelan pengimarahan masjid di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Beliau berkata isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan sering menjadi fokus utama kerana ia melangkaui batas sempadan, agama, bangsa, dan budaya.

Katanya, berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), hampir satu daripada tiga wanita di seluruh dunia mengalami keganasan fizikal atau keganasan seksual sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

“Tragedi ini telah merebak kepada situasi dan keadaan yang berbeza, termasuk di tempat awam, tempat kerja dan dalam talian serta telah diburukkan lagi oleh kesan pasca-pandemik Covid-19. Terdapat lima bentuk keganasan yang dikenal pasti boleh berlaku kepada wanita, iaitu penderaan fizikal, penderaan seksual, penderaan sosial, penderaan kewangan serta penderaan psikologi dan emosi.

“Masyarakat lebih mengetahui mengenai penderaan fizikal dan seksual. Namun begitu, ramai yang kurang sedar mengenai jenis bentuk keganasan lain yang boleh berlaku terhadap wanita. Ugutan, penghinaan, menjatuhkan maruah wanita adalah bentuk penderaan psikologi dan emosi,” katanya.

Nancy berkata berdasarkan statistik polis, kes keganasan terhadap wanita yang melibatkan keganasan rumah tangga, jenayah rogol, dan gangguan seksual merekodkan sebanyak 9,334 kes pada 2021; dan 8,580 kes pada 2022; dan bagi tahun ini, sehingga Ogos, sebanyak 5,050 kes direkodkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.