Strategi salah punca PN tak capai sasaran PRN Negeri Sembilan

Strategi salah punca PN tak capai sasaran PRN Negeri Sembilan

PN menyasarkan menang lebih 10 kerusi di Negeri Sembilan, tetapi hanya menang lima daripada 36 kerusi DUN ditandinginya pada PRN 12 Ogos lalu.

Ketua Sayap Bersekutu Negeri Sembilan, R Sri Sanjeevan berkata, salah percaturan pucuk pimpinan tertentu menyebabkan PN hanya menang lima kerusi di negeri itu. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Seorang pemimpin Bersatu berpendapat strategi salah dan meletak calon payung terjun antara punca Perikatan Nasional (PN) gagal mencapai sasaran memenangi lebih 10 kerusi pada PRN Negeri Sembilan Ogos lalu.

Ketua Sayap Bersekutu Negeri Sembilan, R Sri Sanjeevan berkata, salah percaturan pucuk pimpinan tertentu menyebabkan PN hanya menang lima kerusi di negeri itu.

“Saya secara peribadi berpandangan kegagalan itu disebabkan strategi kita salah dan cara kita berdepan PRN tak betul. Calon dipilih saat terakhir dan ada calon bidan terjun.

“Rakyat nak tengok orang yang betul-betul boleh berkhidmat untuk mereka dan dikenali, kadang-kadang orang kenal pun mereka tak undi, tiba-tiba letak calon bidan terjun lagi susah nak menang,” katanya kepada FMT.

PN hanya menang lima daripada 36 kerusi DUN ditandinginya pada PRN 12 Ogos lalu, iaitu Paroi, Bagan Pinang, Serting, Gemas dan Labu.

Sanjeevan yang juga ketua penerangan Sayap Bersekutu Bersatu berkata, kelompongan pada PRN lalu perlu diperbaiki segera bagi memastikan PN dapat memenangi lebih banyak kerusi dan menawan Negeri Sembilan.

“Saya setuju itu kelemahan di pihak kami, tapi kita akan cuba perbaiki keadaan ini pada masa akan datang. Saya yakin kita boleh menang banyak kerusi di Negeri Sembilan, kalau kita buat kerja dari sekarang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.