
Setiausaha Agung Kamarul Baharin Mansor berkata persetujuan itu dicapai ekoran perintah daripada Jabatan Tenaga Kerja.
“Kami terima maklumat daripada jabatan mengesahkan MYAirline bersetuju membayar gaji-gaji itu menurut jumlah yang ditetapkan dalam slip gaji kakitangan,” katanya kepada FMT.
MTUC bagaimanapun ragu-ragu sama ada MYAirline boleh sempurnakan komitmennya, kata Kamarul.
“Keraguan ini disebabkan syarikat penerbangan itu gagal membayar gaji bagi bulan September dan Oktober, lalu menimbulkan tanda tanya sama ada pelabur-pelabur baharu akan tunai ikrar menampung gaji lima bulan.”
MTUC juga menyifatkan keadaan itu sebagai “tidak boleh diterima” kerana syarikat bertanggungjawab membayar kakitangan dengan segera.
“Menunggu pelabur bukanlah tindakan yang boleh diterima,” kata Kamarul.
MYAirline menggantung operasi pada 12 Okt kerana tekanan kewangan. Pada 31 Okt, sekumpulan kakitangan syarikat itu membuat laporan polis berkenaan tunggakan gaji mereka.
Kamarul yang mengiringi mereka menyeru campurtangan kerajaan bagi memastikan kebajikan kakitangan terbabit terbela.