3 diambil keterangan kes gangguan seksual libat ketua agensi kerajaan

3 diambil keterangan kes gangguan seksual libat ketua agensi kerajaan

Polis turut merampas telefon bimbit suspek yang dipercayai digunakan untuk membuat gangguan seksual terbabit.

Polis berkata mangsa mendakwa diganggu secara seksual berulang kali melalui WhatsApp oleh pegawai kanan terbabit.(Gambar Freepik)
KUALA LUMPUR:
Polis sudah memanggil tiga individu termasuk ketua agensi kerajaan bagi membantu siasatan kes gangguan seksual didakwa dilakukan terhadap seorang wanita berusia 39 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata polis sudah memanggil suspek untuk dirakam percakapan petang semalam, selain mangsa dan pegawai khas kepada pegawai kanan itu dan kes kini di peringkat akhir siasatan.

Katanya, polis turut merampas telefon bimbit milik lelaki terbabit.

“Wanita itu mendakwa diganggu secara seksual berulang kali melalui aplikasi WhatsApp oleh pegawai kanan terbabit.

“Keterangan pegawai khas suspek diambil untuk mengesahkan jika ada pertemuan di antara mangsa dengan suspek. Beberapa lagi saksi dijangka dipanggil untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan siasatan.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 509, Seksyen 507A dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Terdahulu, tular laporan polis dipercayai dibuat seorang wanita yang juga perunding kewangan, mendakwa pegawai terbabit mengganggunya di WhatsApp sejak tahun lalu.

Polis membuka siasatan selepas mangsa membuat laporan minggu lalu.

Dalam perkembangan lain, Shuhaily berkata bekas polis, Sirul Azhar Umar yang berdepan hukuman mati di negara ini kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu masih dalam senarai Notis Merah Interpol.

Beliau berkata, polis Malaysia tidak pernah meminta nama Sirul dikeluarkan daripada senarai Interpol.

“Sekiranya dia dikeluarkan daripada senarai Notis Merah, maka kita tidak perlu membawanya kembali. Jadi, notis itu kekal seperti sedia ada,” katanya.

Menurutnya, isu ekstradisi Sirul kini bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.