
Aktivis hak asasi manusia, Arun Dorasamy berkata keluarga itu turut menyerahkan nama suspek baharu yang didakwa di sebalik pembunuhan itu, serta bukti bagi menyokong dakwaan mereka.
Katanya, mereka belum menerima sebarang perkembangan baharu selepas polis mereman sembilan individu dalam siasatan ke atas pembunuhan itu.
“Sehingga kini, tiada kemajuan langsung. Jadi, kita bersedia membuat laporan polis (baharu) dengan maklumat tambahan untuk polis menjalankan siasatan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang turut dihadiri ibu Vinayagam, Sumathi Gopal, dan kakaknya, Malar Jaganathan.
Arun berkata, mereka turut menyerahkan bukti kepada Suhakam dengan harapan inkuiri bebas akan diadakan atas pembunuhan Vinayagam.
Beliau yakin Suhakam akan memulakan siasatan dan mereka sedia memberi kerjasama penuh bagi memudahkan siasatan itu.
Vinayagam, 32, didakwa diculik dari keretanya di Jalan Masjid India, di sini, pada 26 Okt 2021. Tiga hari kemudian, mayatnya ditemui dalam keadaan bogel di tepi jalan Ulu Yam, Selangor, dengan tangan dan kakinya diikat, serta leher dikelar.
Polis Gombak kemudian mengklasifikasikan kes itu sebagai pembunuhan.
Januari lalu, Arun dan Sumathi mengemukakan permohonan rasmi kepada Suhakam untuk memulakan inkuiri ke atas kes itu.