
Ini kerana, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, Penolong Pegawai J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani belum tampil membuat laporan.
Katanya, polis hanya dapat mengenal pasti “Mr H” secara positif selepas Wahab mengesahkannya.
“Kita cuba jejakinya (Wahab) menerusi peguam beliau dan cuba yakinkannya, kita cuba bantu dan jamin keselamatan beliau untuk selesaikan kes ini.
“Polis telah merekod keterangan individu didakwa sebagai Mr H pada Khamis, tapi kita tidak boleh kemukakannya atas faktor keselamatan, juga tidak mahu jejaskan dalam konteks siasatan hingga timbul spekulasi yang menyukarkan siasatan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Agus dan Wahab dalam sidang media khas minggu lalu mendakwa video perbualan mereka yang tular di media sosial sudah disunting, dengan Wahab mendakwa diarahkan individu bernama “Mr H” untuk merakam video perbualannya bersama Agus.
Susulan itu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan individu dikenali sebagai “Mr H” selesai memberi keterangan semalam.
Dalam tempoh seminggu ini, Shuhaily berkata, keterangan empat individu sudah diambil, termasuk pengadu (Agus), Hisham Shaharin yang lebih dikenali Che’gu Bard serta pekerja hotel bagi mengesahkan sidang akhbar diadakan pada 17 Nov lalu.
Katanya, polis masih menunggu laporan pakar bagi mengesahkan kesahihan video didakwa disunting itu.
Ancaman bom palsu
Shuhaily berkata, 51 laporan ancaman bom palsu diterima di seluruh negara membabitkan empat sekolah bantuan kerajaan, 15 sekolah swasta dan 32 sekolah antarabangsa.
Katanya, siasatan masih diteruskan kerana motif ancaman tidak diketahui, dengan 10 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Jamaica, Trinidad dan Tobago, Interpol serta Biro Siasatan Persekutuan (FBI) untuk mengesan pautan e-mel ancaman itu.
“Berdasarkan siasatan awal, kami dapati individu terbabit mengambil alamat e-mel sekolah terlibat yang dipaparkan di domain awam.
“Walaupun ancaman ini palsu, polis mengambil serius ancaman ini kerana tidak mahu ada pihak menangguk di air keruh dan mengambil peluang mengganggu ketenteraman negara. Polis tetap akan ke setiap sekolah menerima ancaman e-mel berkenaan.”
Negara lain seperti Jamaica, Trinidad dan Tobago, Jerman serta Amerika Syarikat turut menerima ancaman bom palsu. Jamaica dilaporkan menerima sehingga 70 panggilan palsu.