
Mengulas pendirian Muhyiddin dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, Hamzah berkata perkara itu tidak semestinya diterima oleh pimpinan dan akar umbi.
“Saya nak maklumkan (mengenai hasrat) Tan Sri (Muhyiddin), jangan persoalkan kerana kita belum buat keputusan untuk tidak menerima.
“Itu baru cadangan dan saya tidak melihatnya sebagai isu besar,” katanya pada sidang media selepas perasmian PAT 2023 di IDCC, Shah Alam.
“Semua Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bersetuju Tan Sri kata tak nak pertahankan bukan letak jawatan.”
Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan Bersatu tahun depan untuk memberi ruang kepada pemimpin pelapis.
Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu mengakui terkejut dengan pengumuman Muhyiddin dan ia tidak pernah disuarakan pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
“Saya rasa terkejut dan tidak berpuas hati dengan pengumuman Muhyiddin untuk tidak menawarkan diri dalam pemilihan parti akan datang.
“Kita dapat melihat maklum balas secara tiba-tiba daripada semua perwakilan yang berdiri menolak,” katanya.
Faizal berkata, setiausaha agung juga memberi jaminan supaya ahli parti tidak perlu bimbang kerana pucuk pimpinan akan mencari jalan supaya Muhyiddin kekal kerana Ahli Parlimen Pagoh itu merupakan pencetus penubuhan Bersatu.
“Tentunya ucapan (bahas) petang ini sehingga esok dan suara akar umbi akan dibawa ke atas (pucuk pimpinan),” katanya.
Beliau juga enggan mengulas sama ada mahu bertanding jawatan presiden atau tidak, sebaliknya berkata: “Tidak perlu ke situ, kerana akar umbi mahu Muhyiddin kekal.
“Saya tak akan menentang Muhyiddin dan akan lindungi beliau.”
Ketua Pemuda Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula berkata beliau akan mengusulkan supaya Muhyiddin kekal menerajui Bersatu pada pemilihan seterusnya.
“Sudah tentu, saya akan menyentuhnya pada penggulungan esok.”