Waspada tawaran lesen memandu murah di media sosial

Waspada tawaran lesen memandu murah di media sosial

Orang ramai diminta berhati-hati dengan sindiket penipuan menggunakan pelbagai kaedah komunikasi bagi mempengaruhi pemikiran mereka.

JPJ bekerjasama dengan polis serta SKMM untuk mengesan pemilik akaun media sosial menjalankan penipuan pengeluaran lesen memandu tidak sah. (Gambar AFP)
PUTRAJAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan kegiatan sindiket penipuan di media sosial termasuk Facebook dan Telegram yang menjanjikan pengeluaran lesen memandu tidak mengikut syarat ditetapkan serta tidak sah di sisi undang-undang.

Ketua Pengarah JPJ, Rospiagos Taha, berkata terdapat beberapa modus operandi digunakan sindiket itu yang menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan iklan dengan pelbagai kaedah pujukan.

“(Ia) termasuk memaparkan gambar lesen memandu JPJ bagi menarik dan memikat orang ramai mendapatkan lesen tanpa ujian dan boleh didapati dalam tempoh singkat, murah, mudah dan sukar dikesan pihak berkuasa.

“Orang ramai diminta berhati-hati dengan sindiket penipuan pengeluaran lesen memandu secara tidak sah ini yang menggunakan pelbagai kaedah komunikasi bagi mempengaruhi pemikiran mereka,” katanya dalam kenyataan.

Rospiagos berkata, memiliki lesen tidak sah adalah kesalahan bawah Seksyen 108 Akta 333 dan memandu tanpa lesen sah bukan saja melanggar undang-undang, tetapi terdedah kepada risiko kemalangan yang membahayakan nyawa sendiri dan orang lain.

Katanya, JPJ bekerjasama dengan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk mengesan pemilik akaun media sosial yang menawarkan dan menjalankan penipuan tersebut bagi tindakan lanjut.

“Orang ramai diseru memberikan maklumat atau menyalurkan aduan sekiranya terdapat sindiket di media sosial cuba menawarkan promosi pengeluaran lesen secara mudah dan murah, tetapi tidak mengikut syarat ditetapkan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.