
Susulan perkembangan politik tanah air, Bersatu yang mengetuai PN atas status presidennya Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi kini disokong 26 wakil rakyat berbanding 30 sebelum ini, manakala PAS pula dengan 43 Ahli Parlimen.
Mereka yang menyokong Anwar terdiri Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).
Justeru, penganalisis politik berpendapat Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu bermula hari ini hingga Sabtu perlu menjadi medan pimpinan untuk mengembalikan kepercayaan ahli dan rakyat dengan mengumumkan langkah pemulihan bagi mengawal “kerosakan”.
Merujuk tindakan wakil rakyatnya menyokong kerajaan, Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia berkata, perkara itu harus menjadi pengajaran kepada Bersatu supaya menyaring calonnya terlebih dahulu.
Ini kerana katanya, ramai pemimpin Bersatu daripada Umno mempunyai rekod kurang “bersih” dan terdedah kepada tekanan untuk mengalihkan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Pengajaran sebagai pembangkang akan mematangkan dan menambah kekentalan jiwa ahli politik PN untuk terus berjuang tanpa perlu mengungkit ‘majoriti’ dirampas dari tangannya pasca PRU15.
“Bersatu mempunyai peranan besar dalam PN sebagai pengimbang kepada PAS yang potensi keadilannya masih diragui masyarakat bukan Islam kecuali komuniti itu di negeri pimpinannya,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berpandangan naratif pembelotan empat Ahli Parlimen menyokong Anwar akan “diperkukuhkan” pada perhimpunan itu untuk menggambarkan Bersatu masih stabil.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada perwakilan mempersoalkan kepimpinan Muhyiddin dan mungkin membangkitkan calon penggantinya yang dikatakan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, menjelang pemilihan parti tahun depan.
“Memang tidak syak kepimpinan Bersatu akan dipersoalkan dan dibincangkan dengan hangat dalam perhimpunan itu, boleh juga dikaitkan dengan PAS yang mempunyai banyak kerusi dan mentadbir empat negeri.
“Bersatu seolah-olah hilang hala tuju dalam perkara ini, Ahli Parlimen Bersatu beri sokongan kepada PMX (Anwar) sebenarnya ada kena- mengena dengan kepimpinan parti yang kini menjadi persoalan,” katanya.