Bukan Melayu tinggalkan Anwar jika gagal selesai isu rakyat, kata Wan Fayhsal

Bukan Melayu tinggalkan Anwar jika gagal selesai isu rakyat, kata Wan Fayhsal

Ketua Pemuda Bersatu berkata kegagalan kerajaan menangani isu rakyat akan menyebabkan pengundi bukan Melayu beralih kepada PN.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Fayhsal Wan Ahmad berkata kerajaan Madani ketika ini hanya “indah” di luaran tetapi terdapat kelompongan di dalamnya.
SHAH ALAM:
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad meramalkan penyokong Pakatan Harapan (PH) khususnya kaum Cina akan meninggalkan gabungan itu dan beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) sekiranya kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim terus gagal menyelesaikan isu ekonomi rakyat.

Ketua Pemuda Bersatu itu berkata kerajaan Madani ketika ini hanya “indah” di luaran tetapi terdapat kelompongan di dalamnya.

“Saya pasti pengundi teras PH khususnya dalam kalangan kaum Cina akan meninggalkan Anwar dan mungkin akan memilih PN,” katanya pada sidang media sempena persidangan sayap Pemuda Bersatu.

“Apa gunanya beretorik jika anda gagal menyelesaikan apa-apa.”

Terdahulu kaji selidik Merdeka Center mendedahkan rating penerimaan Anwar sebagai perdana menteri merosot kepada 50%.

Hasil kajian tersebut turut mendapati sehingga Oktober lalu, sebanyak 48% responden tidak berpuas hati dengan prestasi Anwar dalam pentadbiran kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Wan Fayhsal berkata Bersatu menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang sebulat suara menolak rayuan empat kumpulan berkepentingan Melayu-Islam memohon untuk mengisytiharkan penggunaan bahasa Mandarin atau Tamil di sekolah vernakular tidak sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Kita hormati keputusan mahkamah, bagaimanapun kami mahu sekolah vernakular diselitkan dengan lebih banyak elemen-elemen kebangsaan, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dan sejarah bukannya mata pelajaran asing.

“Seperti kita tahu sesetengah sekolah vernakular mempunyai sukatan pelajaran yang dibawa dari Taiwan dan China yang mana tiada kaitan dengan semangat nasionalisme dan pembinaan negara bangsa,” katanya.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Rayuan Azizul Azmi Adnan yang bersidang bersama dua lagi hakim berkata, sekolah vernakular sudah lama diiktiraf dalam kerangka kerja perundangan sistem pendidikan negara dari sebelum merdeka dan kewujudan Perlembagaan pada 1957.

Rayuan itu dikemukakan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (I-Guru).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.