
Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mendakwa, ketika ini anggota dibekalkan pakaian dan kasut sukan “cap ayam” kerana tidak berjenama serta tiada kualiti.
“Dah sampai masanya Kementerian Pertahanan pertimbangkan perolehan tender terbuka (jenama) antarabangsa bagi program ‘head to toe’.
“(Iaitu dengan) memperoleh pakaian sukan berjenama berkualiti seperti Nike, Adidas, Under Armour atau New Balance agar anggota tentera kita sentiasa dibekal barangan berkualiti tinggi dan tahan lasak,” katanya di Dewan Rakyat.
Ikmal berkata, ketika ini beliau difahamkan Kementerian Pertahanan sedang melaksanakan perolehan bagi pakaian sukan termasuk kasut dan stoking sukan untuk barangan yang tiada jenama.
“Saya percaya jumlah RM140 juta diperuntukkan untuk tahun 2024 dan 2023 kalau digabungkan berjumlah RM280 juta, cukup untuk Mindef melaksanakan pakaian sukan berkualiti tinggi dan berjenama antarabangsa,” katanya.
Beliau yang juga bekas timbalan menteri pertahanan berkata, keadaan itu berbeza dengan Singapura yang menggunakan pakaian sukan berjenama antarabangsa iaitu New Balance untuk tenteranya.
“Pakaian sedia ada kasut dan stoking sukan yang diperoleh untuk anggota tentera mudah rosak, ia juga tidak melalui penilaian makmal sukan secara intensif.
“Selain pakaian sukan, saya cadangkan pakaian lain seperti pakaian dalam dan tudung wanita,” katanya.