ICERD: Rujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, gesa pemimpin PN

ICERD: Rujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, gesa pemimpin PN

Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mengemukakan usul itu kerana perdana menteri didakwa telah mengelirukan Dewan Rakyat.

Bantahan terhadap cadangan kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD) diadakan di ibu negara pada Disember 2018. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul supaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu ratifikasi Statut Rome.

Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) turut mendakwa Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun telah menyebabkan kekeliruan dalam isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD).

Beliau berkata surat itu telah dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengikut peraturan Mesyuarat 36 (12) dan 36 (12), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Saifuddin Abdullah.

Menurut Saifuddin, Anwar pada Selasa lalu telah membuat sangkaan jahat dengan mengatakan Statut Rome dan ICERD telah dibawa tanpa kelulusan Kabinet ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah pada 2018 sehingga 2020.

Saifuddin adalah menteri luar ketika itu.

“(Anwar kata) soal Statut Rome dan ICERD kena tanya (Ahli Parlimen) Indera Mahkota, (kerana) dia bawa dulu tanpa kelulusan kabinet pada ketika itu.

“Sedangkan sah kabinet telah bermesyuarat pada 12 Dis 2018 dan buat keputusan untuk ratifikasi Statut Rome manakala Icerd pula di bawah bidang kuasa portfolio menteri perpaduan di Jabatan Perdana Menteri (P Waytha Moorthy) pada waktu itu,” katanya di Dewan Rakyat.

Sebagai maklum balas, Johari mengesahkan telah menerima surat berkenaan dan sedang berbincang dengan pasukan peguamnya berkaitan perkara itu.

“Saya dah tulis surat pada Tambun (Anwar), sebaik dapat surat daripadanya saya akan maklumkan pada yang berhormat dab ambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Empat tahun lalu, kerajaan di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad menarik diri daripada meratifikasi dua konvensyen berkenaan, antara alasan susulan kekeliruan timbul dalam isu berkenaan.

Mahathir mendakwa isu itu telah dipolitikkan untuk mencemarkan nama baik kerajaan Pakatan Harapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.