
Beliau yang juga menteri kewangan berkata, ia termasuk syarikat Google, TikTok, Infineon Technologies AG, syarikat automotif China, Geely dan Tesla yang yakin dengan kemampuan Malaysia kerana kini mempunyai dasar jelas.
“Saya tanya mereka apa keistimewaan di Malaysia. Sekarang, Alhamdulillah politik stabil. Politik stabil itu membantu memberi keyakinan kepada mereka, ada dasar yang jelas.
“Maknanya dia tahu, dia datang sini, ini dasar ekonominya, ini dasar perindustrian, ini ekonomi Madani, ini transisi tenaga. Saya bersyukur Malaysia menjadi perhatian semula selepas ketinggalan beberapa lama,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) dan Anugerah Tokoh Mahir 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).
Turut hadir Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, Timbalan Menteri Kerja Raya Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Zulkapli Mohamed.
Anwar berkata kerajaan akan lebih agresif dan tegas membawa perubahan bukan hanya bagi menyelamatkan negara, malah mengangkat martabat negara di rantau ini dengan menarik lebih ramai pelabur, mengurus ekonomi dengan baik, melatih anak tempatan dan tatakelola baik.
“Negara ini tidak boleh lagi dikenali negara yang senang dan toleransi dengan rasuah serta penyelewengan, setiap dana mesti digunakan dengan baik di semua peringkat, daripada perdana menteri hingga ke bawah.”
Katanya kestabilan politik sekarang juga akan menyukarkan hasrat segelintir pihak “mengidam” untuk mengambil alih kerajaan.
Pada masa sama, beliau menegur pihak bergaduh mengenai perbezaan agama dan kaum, tetapi tidak menghiraukan masa depan anak muda, termasuk graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Anwar meminta institut latihan perindustrian (ILP) dan agensi berkaitan menyediakan latihan kemahiran secukupnya, khususnya di peringkat kemahiran tertinggi susulan teguran pelabur bahawa kemahiran tertinggi pekerja di negara ini perlu dipertingkatkan.
“Geely menganggap nilai prestasi pekerja di Malaysia sangat baik dan memuaskan, tahap profesionalisme baik. Masalahnya satu saja, iaitu tahap kemahiran tinggi kadang-kadang ada kekurangan.”
Menyentuh kelantangannya berkaitan isu Palestin, Anwar mengakui beliau menyuarakan isu itu di pentas antarabangsa mewakili rakyat Malaysia, walaupun ia perkara sukar.
Beliau juga menyelar tindakan segelintir pihak dalam negara yang dilabelkannya suara sumbang terus menyerangnya dalam hal berkenaan.
“Bukan saya nak minta berterima kasih. Kalau tidak terima kasih pun, janganlah kutuk lagi.”
Meskipun lantang menyuarakan isu Palestin ketika menghadiri Mesyuarat ke-30 Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat baru-baru ini, katanya ia tidak mengganggu keputusan syarikat besar, termasuk dari AS meneruskan pelaburan di Malaysia.
Menurutnya, Global Infrastructure Partners (GIP) memutuskan untuk bersama mengambil ekuiti bagi membesarkan pelabuhan di negara ini, termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.