
Ini kerana, katanya, kerajaan negeri dimaklumkan dua Adun pembangkang itu menerima peruntukan lebih besar daripada Putrajaya berbanding jumlah diberikan kerajaan Kelantan.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi dua Adun pembangkang itu peruntukan Rancangan Kecil Pembangunan (RKP) berjumlah RM250,000 yang sudah disalurkan kepada mereka tahun ini.
“Setakat ini kita umum RKP (yang diberikan kepada semua Adun). Kita dimaklumkan Adun pembangkang terima peruntukan lebih besar daripada kerajaan pusat berbanding apa (peruntukan) yang diberikan oleh kerajaan negeri.
“Kalau kita beri semua sama, bermakna akan jadi tidak adil kerana Adun kerajaan negeri tidak menerima peruntukan daripada pusat,” katanya menurut Harian Metro ketika menjawab soalan tambahan Mohd Syahbuddin Hashim (Galas-BN) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.
Hanya dua daripada 45 Adun di Kelantan ialah pembangkang, iaitu Adun Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan Adun Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.
Nassuruddin berkata, situasi mungkin berbeza jika Adun Galas dan Kota Lama tidak menerima sebarang peruntukan daripada Putrajaya.
“Kecuali kalau Adun pembangkang tidak menerima peruntukan daripada pusat. Itu kita boleh bincang,” katanya.