
KUALA LUMPUR; Atlet bawah Program Podium menarik nafas lega apabila Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan sedang meneliti pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bermula Januari depan.
Jaguh berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom berkata, keputusan itu suatu langkah positif setelah sekian lama atlet membuat rayuan supaya MSN melaksanakan caruman berkenaan bagi atlet negara.
“Kami faham, untuk laksanakan perkara ini bukan mudah, perlukan masa yang panjang. Alhamdulillah terlaksana juga. Ada atlet yang beri komitmen sepenuh masa sebagai atlet, ada tiada kerja lain, ada yang sudah jadi atlet lebih 10 tahun. Jika memang tiada caruman, agak sukar untuk mereka.
“Sebelum ini, kita ambil inisiatif buat caruman sendiri, jadi bila ada caruman (daripada pihak MSN) memang sangat bagus. Harap pembaharuan ini mampu beri keyakinan kepada atlet muda yang nak sertai pasukan kebangsaan,” katanya.
Badang negara Mohamad Aniq Kasdan yang sependapat dengan Muhammad Shah Firdaus itu berkata, caruman KWSP dan Perkeso merupakan perkara penting bagi atlet kebangsaan sebagai bekalan mereka meneruskan kelangsungan hidup pada masa akan datang.
“Bukan setakat untuk masa tua, tapi juga penting sekiranya atlet mengalami kemalangan,” katanya yang berharap caruman berkenaan turut diperluas kepada atlet bawah Program Pelapis.
Sementara itu, ratu terjun negara Pandelela Rinong menerusi ciapan di X menyuarakan kelegaan atas keputusan MSN itu.
“Selepas bertahun-tahun (atlet mohon), akhirnya Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dapat melakukannya untuk atlet-atlet bawah MSN, terima kasih banyak kerana menjaga kebajikan atlet,” katanya.
Jaguh pecut kebangsaan Khairul Hafiz Jantan pula berharap caruman KWSP dan Perkeso ini dapat diperluas kepada semua atlet, bukan hanya tertumpu kepada atlet bawah program khas.
“Mereka perlu adil kepada semua, tidak kisah untuk (atlet) Program Podium, Pelapis, atau yang baru masuk ke program kerana bagi saya, semua (atlet) perlu dapat (caruman) sebab bukan senang untuk layakkan diri dalam program,” katanya.
Semalam, Hannah mengumumkan caruman yang akan dilaksanakan itu diputuskan oleh Lembaga Pengurusan MSN baru-baru ini selepas kajian semula skim elaun latihan atlet kebangsaan, dengan penekanan kepada kesejahteraan atlet, diluluskan.
Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat, Hannah berkata, caruman itu merupakan “game changer” oleh kerajaan kerana sebelum ini, tiada sebarang program membolehkan atlet negara mendapat caruman KWSP dan Perkeso.