
Bagi pertuduhan pertama, Tan Chee Kong, 38, didenda RM10,000 atau penjara empat bulan manakala bagi pertuduhan kedua dia didenda RM30,000 atau enam bulan penjara.
Mengikut pertuduhan pertama, peniaga itu didakwa menyimpan 11 ekor burung Kelicap Kunyit iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 tanpa lesen, di sebuah premis perniagaan di Jalan Kapitan Tam Yeong, kira-kira 12 tengah hari, 3 Nov 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, Tan didakwa menyimpan dua ekor burung Bayan Serindit betina iaitu hidupan dilindungi di bawah akta sama tanpa lesen, pada waktu, tarikh dan lokasi sama.
Dia didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 62 akta yang sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Gilmoore Bolongan di hadapan Hakim Mazni Nawi manakala Tan tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Gilmoore memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap Tan sebagai pengajaran dan amaran kepada semua pihak bahawa jenayah melibatkan hidupan liar adalah satu perkara yang serius.
“Aktiviti pengambilan hidupan liar di habitat asalnya semakin tidak terkawal menyebabkan banyak impak negatif yang berlaku.
“Sekiranya aktiviti ini tidak dibendung segera, maka burung kelicap kunyit dan bayan serindit ini akan pupus dan ekosistem habitat semula jadi terjejas,” katanya.