Samsuri perjelas ‘kurang mesra’ kerana berhati-hati kempen

Samsuri perjelas ‘kurang mesra’ kerana berhati-hati kempen

Calon PN PRK Kemaman berkata pihaknya mahu mengelak kemenangan pada pilihan raya itu sekali lagi dicabar melalui petisyen.

Calon PN PRK Kemaman Ahmad Samsuri Mokhtar berkata jenteranya sangai berhati-hati ketika berkempen. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Calon Perikatan Nasional (PN) PRK Kemaman Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau mengambil pendekatan “kurang mesra” bagi mengelak keputusan pilihan raya sekali lagi dibatalkan menerusi petisyen.

“Kita sangat careful (berhati-hati) cara berkempen,” katanya kepada pemberita sambil menambah jentera pembangkang tidak akan masuk ke mana-mana tempat makan.

“…jadi kita kena cermat kerana lawan…kita tak ikut peraturan dia tak puas hati dia terus petisyen pilihan raya,” katanya merujuk Barisan Nasional (BN).

“Jadi kita sangat cermat untuk pastikan bahawa kita tidak pergi perkara yang boleh dipertikaikan.”

Samsuri berkata demikian ketika diminta mengulas mengapa calon lawan lebih mesra berbanding kaedah kempen PN.

PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada PRU15 tahun lalu.

Mahkamah mendapati pemberian bantuan kerajaan kepada pengundi ketika kempen berlangsung dianggap rasuah pilihan raya.

PRK Kemaman akan berlangsung pada 2 Dis dengan undi awal ditetapkan pada 28 Nov. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, kawasan Parlimen itu mempunyai 141,790 pengundi.

Dalam perkembangan lain, Samsuri yang juga menteri besar Terengganu berkata, jika dipilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman, ia tidak memberi kesan terhadap prestasinya menerajui kerajaan negeri.

“Kemampuan empat Adun bawah Kemaman (Parlimen) banyak membantu Ahli Parlimen.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.