Mekanik didenda RM3,000 lempar sos cili ke rumah peminjam wang

Mekanik didenda RM3,000 lempar sos cili ke rumah peminjam wang

Tertuduh juga dituduh di Mahkamah Sesyen kerana mengganggu peminjam wang dan ahli keluarganya.

Tertuduh didakwa sengaja melakukan khianat, iaitu melemparkan plastik mengandungi cecair cili merah ke rumah seorang lelaki 55 tahun. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang mekanik didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas tuduhan khianat melempar sos cili ke perkarangan rumah peminjam wang hujung bulan lalu.

Harian Metro melaporkan Kok Kar Wei, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.

Mengikut pertuduhan, Kok bersama seorang lagi suspek masih bebas didakwa sengaja melakukan khianat, iaitu melemparkan plastik mengandungi cecair cili merah ke rumah seorang lelaki 55 tahun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Peguam Amirul Hakim Ahmad Mahazir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minimum mengambil kira kerjasama tertuduh yang datang dari Johor Bahru, menyerah diri di IPD Nilai serta perlu menanggung isteri dan seorang anak berusia dua tahun.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM3,000 dan boleh dipenjarakan lima bulan jika gagal membayar denda.

Di Mahkamah Sesyen Seremban, tertuduh sebagai wakil pemberi pinjaman wang tanpa lesen mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengganggu seorang peminjam wang dan ahli keluarganya dengan menyimbah sos merah di perkarangan rumah dan pagar mangsa serta memberikan notis ugutan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Laman Dahlia Nilai Impian, Nilai kira-kira 9 malam 30 Okt lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29B(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Hakim Mazni Nawi menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.