
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman berkata wanita 34 tahun itu menerima panggilan telefon pada pertengahan Oktober lepas daripada individu mendakwa wakil syarikat penghantaran memaklumkan terdapat bungkusan didaftarkan atas nama mangsa yang ditahan polis.
“Suspek mendakwa bungkusan itu bermasalah kerana mengandungi dokumen penting seperti kad pengenalan, buku cek dan kad kredit menyebabkan mangsa perlu berurusan dengan polis bagi mendapatkan bungkusan tersebut.
“Mangsa mendakwa dirinya bercakap dengan pegawai polis di Pulau Pinang, sebelum disambungkan ke Bukit Aman memandangkan bungkusan itu berkait kes dadah dan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang panik bertindak mengikut arahan memindahkan wang ke akaun diberikan suspek, selain turut membuat pinjaman di sebuah bank, juga mengikut arahan suspek sebelum diarahkan berkongsi maklumat perbankan itu.
Katanya, mangsa dimaklumkan transaksi pemindahan wang dan pinjaman bank untuk siasatan polis serta bayaran kepada mahkamah, pihak audit dan Bank Negara Malaysia, selain bagi rayuan supaya dia tidak dikenakan tindakan.
“Secara keseluruhannya, mangsa mendakwa memindahkan wang berjumlah RM362,399 kepada suspek dan hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi suspek untuk bertanyakan perkembangan siasatan kes itu.”
Mangsa membuat laporan di balai polis Cameron Highlands semalam.
Yahaya menasihatkan orang awam tidak panik semasa menerima panggilan telefon meragukan dan segera membuat semakan di balai polis, selain menyemak nombor telefon dan akaun diterima di laman web https://semakmule.rmp. gov.my supaya tidak menjadi mangsa penipuan.