‘1 buat onar tak adil batal semua konsert’, kata timbalan menteri

‘1 buat onar tak adil batal semua konsert’, kata timbalan menteri

Teo Nie Ching berkata daripada 296 konsert melibatkan artis luar negara yang diluluskan hanya satu kumpulan tidak hormat undang-undang negara.

Beberapa Ahli Parlimen PAS menggesa kerajaan membatalkan konsert melibatkan artis luar terutama Coldplay yang berlangsung malam ini dan ‘Stars on Fire’ pada 1 Dis. (Gambar Instagram)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berkata tidak adil membatalkan semua konsert yang diluluskan melibatkan artis luar negara hanya kerana satu insiden sebelum ini.

Timbalan Menteri Teo Nie Ching berkata, ini kerana daripada 296 konsert melibatkan artis luar negara yang diluluskan, hanya satu kumpulan tidak hormat kepada undang-undang negara.

“Adakah adil oleh kerana satu insiden jadi kita cakap batalkan semua konsert atau cakap konsert ini secara tiba-tiba dilabel kurang sihat,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Terdahulu semasa perbahasan itu beberapa Ahli Parlimen PAS menggesa kerajaan membatalkan konsert melibatkan artis luar terutama kumpulan Coldplay yang berlangsung malam ini dan “Stars on Fire” pada 1 Dis ini.

Teo berkata, ada banyak cara untuk menunjukkan solidariti kepada Palestin.

“Yang sudah beli tiket, saya ucapkan ‘enjoy the show’. Yang tidak minat tak perlu kacau,” katanya.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) membidas jawapan Teo dan berkata kerajaan tidak boleh memberi kebenaran seperti itu.

Katanya, tanggungjawab kerajaan memastikan nilai moral tinggi kepada rakyat.

“Jangan serah kepada rakyat untuk membuat pilihan. Kerajaan ada polisi, peraturan dan hak untuk pastikan nilai positif sahaja,” katanya mencelah penggulungan Teo.

Dalam pada itu, Teo turut memaklumkan KKD dalam usaha menambah baik garis panduan Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) cetakan ke-5 untuk memastikan konsert kumpulan The 1975 yang melanggar peraturan tidak berulang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.