
Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar, berkata pencalonan Samsuri penting untuk menyuarakan keperluan “SG4” di Parlimen.
“Kita hantar MB Terengganu supaya segala tomahan, ketidakadilan dalam pembahagian, kemakmuran dalam negara khususnya kepada SG4, ini dapat disuarakan oleh MB Terengganu.
“…mewakili menteri besar yang lain yang tidak ada dalam Dewan Rakyat,” katanya dalam ceramah.
Pembangkang ketika ini sedang mendesak peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen.
“SG4” atau “state government four” dibentuk pada September lalu dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bertindak sebagai penasihat.
PAS menerajui empat kerajaan negeri di Perlis, Kedah, Terengganu, dan Kelantan.
Samsuri berdepan calon Barisan Nasional (BN), bekas panglima tentera Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dalam pertembungan dua penjuru pada PRK Kemaman 2 Dis ini.
PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada PRU15 tahun lalu. Mahkamah mendapati pemberian bantuan kerajaan kepada pengundi ketika kempen berlangsung dianggap rasuah pilihan raya.