
Pengarahnya Said Sidup berkata kad itu hanya layak diperoleh seorang ketua keluarga supaya bantuan diterima mangsa tidak bertindan atau berlaku ketirisan.
“Kad ini juga diperkenalkan agar semua mangsa yang berdaftar layak menerima agihan bantuan dan tidak tercicir.
“Kita tidak mahu timbulnya pelbagai isu atau aduan daripada mangsa yang mempersoalkan kenapa mereka tidak menerima bantuan seperti mangsa lain,” katanya selepas meninjau Depoh JKM Kemumin di Pengkalan Chepa di sini.
Untuk tahun ini, beliau berkata JKM Kelantan meminta semua mangsa banjir membuat pendaftaran atas talian menggunakan kaedah kod QR selain pendaftaran secara manual.
Sementara itu, Said berkata mangsa banjir akan dibekalkan makanan “retort”, iaitu nasi goreng atau nasi berlauk ayam kurma segera yang hanya perlu dipanaskan.
Beliau berkata kaedah itu sebagai bekalan makanan awal kepada mangsa baru tiba di PPS sementara menunggu makanan dimasak dihidangkan.
“Sebelum ini, sebanyak 3,000 pek makanan retort yang setiap pek bernilai antara RM18 dan RM20 itu dihantar ke 160 pangkalan hadapan dan sedia diagihkan sekiranya berlaku banjir di kawasan berkenaan.
“Kita juga akan menerima tambahan 19,000 pek lagi yang dianggarkan bernilai RM340,000 dalam masa terdekat.”
Sehingga kini, katanya RM2.34 juta peruntukan digunakan untuk persiapan menghadapi banjir tahun ini.
Beliau berkata sekiranya peruntukan itu tidak mencukupi, pihaknya boleh memohon daripada kerajaan untuk pembelian darurat kerana terdapat 70 pembekal besar di Kelantan.