
Ia menjadikan tiga sekolah antarabangsa di negeri ini dan 20 sekolah di seluruh negara menerima ancaman ugutan bom.
Pemangku Ketua Polis Timur Laut, V Saravanan, berkata sekolah itu menerima ancaman bom menerusi e-mel pada 9.42 pagi semalam namun membuat laporan polis pada 9.22 pagi hari ini.
“Sekolah itu terima satu e-mel daripada individu tidak dikenali mengatakan bahan letupan ditanam di sekolah,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilaporkan berkata polis menerima 19 laporan mengenai ancaman bom palsu yang dihantar menerusi e-mel ke beberapa sekolah swasta dan kerajaan di seluruh negara.
Tujuh laporan dibuat di Selangor, Kuala Lumpur (5), Johor (3), Pulau Pinang (2) dan masing-masing satu di Perak dan Negeri Sembilan.
Ancaman itu dihantar melalui dua akaun e-mel menggunakan nama “taktstorer” yang bermaksud pengganggu ketenteraman dalam bahasa Jerman daripada penyedia perkhidmatan e-mel beeble.com.