Tindakan pecat pekerja pakai salib tak selari ajaran Islam, kata mufti

Tindakan pecat pekerja pakai salib tak selari ajaran Islam, kata mufti

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Noor menegaskan bahawa umat Islam harus berbuat baik sesama manusia, walaupun berbeza agama.

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Noor mengingatkan umat Islam bahawa kelakuan buruk mereka boleh memberikan gambaran negatif tentang agama Islam. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Tindakan sebuah restoran Cina Muslim di Kuala Lumpur memecat salah seorang pekerjanya kerana memakai lambang salib di tempat kerja tidak selari dengan ajaran Islam, kata Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Noor.

“Islam mengajar umatnya supaya berbuat baik dengan semua manusia, sama ada sesama saudara seagama atau saudara kemanusiaan walaupun berbeza agama,” katanya kepada FMT.

Beliau turut berpesan kepada umat Islam agar menjaga imej agama kerana lazimnya orang bukan Islam melihat kepada tingkah laku orang Islam untuk memahami ajaran Islam.

“Jika umat Islam berkelakuan buruk, maka ini memberikan gambaran buruk tentang agama (Islam), begitu juga sebaliknya,” katanya.

“Maka adalah suatu kewajipan ke atas setiap Muslim memaparkan kelakuan yang baik bagi meyakinkan orang bukan Islam tentang kebaikan agama suci ini.”

Ahad lepas, video seorang pekerja restoran memakai lambang salib di tempat kerja tular di media sosial. Restoran itu kemudiannya memecat pekerja itu, mencetuskan protes dalam kalangan warganet.

Wakil restoran Mon Chinese Beef Roti berkata pekerja itu dipecat selepas mereka mengetahui tentang video tular itu, lapor Berita Harian.

Beliau turut memohon maaf kepada mereka yang berasa tersinggung dan tidak selesa melihat pekerja lelaki itu memakai salib di dalam video itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.