
Empat suspek ditahan di Johor, tiga di Selangor, dua di Perak dan satu di Sabah.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata semuanya disyaki meminta rasuah daripada pemilik kenderaan dan orang tengah, sebagai balasan melakukan kegiatan itu.
Menurutnya semua suspek berumur 33 hingga 66 tahun itu ditahan sekitar 11 pagi hingga 3 petang semalam, dan kegiatan itu didalangi empat ejen serta seorang pemilik syarikat, yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita.
“Terdapat dua modus operandi dipercayai dilakukan sindiket ini untuk mendapatkan status diesel hijau pada kenderaan mereka, iaitu secara pindaan data kenderaan atau pembetulan butir kenderaan.
“Sindiket ini dipercayai bergerak aktif sejak 2019 hingga 2022 dan nilai rasuah dianggarkan kira-kira RM1.28 juta untuk lima anggota penguat kuasa terlibat, terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita,” katanya malam tadi.
Beliau berkata ketirisan hasil kepada kerajaan yang terkumpul akibat aktiviti sindiket ini dianggarkan mencecah RM12.73 juta sejak 2018 hingga 2022.
“Pemilik kenderaan perdagangan yang mahukan pengurangan cukai jalan 50% tanpa mematuhi peraturan dan prosedur sah dipercayai akan menghubungi ejen untuk membuat pindaan terhadap maklumat kenderaan mereka.
“Ejen pula akan menghubungi anggota penguat kuasa dan memberikan nombor pendaftaran kenderaan terlibat tanpa mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata semua suspek akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Ipoh, Putrajaya, Johor Bahru dan Kota Kinabalu pagi ini.