Kian Ming senarai 15 calon layak jadi menteri kewangan kedua

Kian Ming senarai 15 calon layak jadi menteri kewangan kedua

Antara yang disenaraikan termasuklah Johari Ghani, Tengku Zafrul Aziz, Lim Guan Eng, Rafizi Ramli, Hassan Marican, Abdul Wahid Omar, Azman Mokhtar.

Bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming menamakan calon yang sesuai dilantik sebagai menteri kewangan kedua ketika menjadi tetamu podcast Keluar Sekajap yang dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming menyenaraikan 15 individu, termasuk ahli politik dan tokoh korporat yang beliau percayai layak mengisi jawatan menteri kewangan kedua bagi membantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Antara individu yang disenaraikan adalah bekas menteri kewangan kedua, Johari Ghani, dan dua bekas menteri kewangan, Tengku Zafrul Aziz dan Lim Guan Eng. Tengku Zafrul kini menjadi menteri pelaburan, perdagangan, dan industri dalam Jemaah Menteri Anwar.

Beberapa Jemaah Menteri turut disenaraikan Ong termasuklah Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad. Ong juga berpendapat kedua-dua timbalan menteri kewangan, Ahmad Maslan dan Steven Sim, adalah calon yang berpotensi.

Beliau juga mencadangkan beberapa tokoh korporat termasuk: bekas CEO Petronas Hassan Marican, Pengerusi Bursa Malaysia Abdul Wahid Omar, bekas pengarah urusan Khazanah Nasional Bhd Azman Mokhtar, bekas CEO KWSP Shahril Ridza Ridzuan, dan CEO Petronas Tengku Muhammad Taufik.

Ong menyenaraikan pilihannya untuk jawatan tersebut semasa menjadi tetamu dalam podcast Keluar Sekejap yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.

Tambahnya, Khairy yang juga bekas menteri kesihatan, dan bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua juga sesuai untuk jawatan tersebut. Pua adalah pegawai khas kepada Lim semasa Lim menjadi menteri kewangan.

Ong juga berkata beliau bersikap terbuka sekiranya ditawarkan peluang untuk membantu Anwar.

“Saya sudi menjadi calon simpanan jika tiada sesiapa (calon) yang sesuai,” katanya. “Semua nama yang saya cadangan tadi sebahagian besar lebih berkelayakan berbanding saya. Tetapi jika panggilan itu datang, maka saya terbuka (untuk menerima jawatan itu).”

KJ kecam ‘kenyataan mengelirukan’ peguam negara

Dalam podcast itu juga, Khairy menuduh Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh, membuat kenyataan mengelirukan apabila berkata jabatannya secara konsisten memberi pandangan bahawa cadangan undang-undang kawalan merokok berdasarkan umur tidak berperlembagaan.

Khairy berkata penasihat undang-undang kepada kementerian kesihatan, iaitu wakil dari Pejabat Peguam Negara, berpandangan peruntukan itu tidak bercanggah Perlembagaan; Khairy berpendapat langkah kerajaan untuk menarik balik peruntukan itu mungkin atas pengaruh politik.

Pada Sabtu lalu, Jabatan Peguam Negara berkata jabatan itu secara konsisten memberikan pandangan undang-undang sejak 2022 bahawa RUU kawalan merokok atau dikenali sebagai generasi penamat (GEG) boleh dicabar di mahkamah kerana bercanggah dengan Perlembagaan mengenai layanan sama rata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.