KBS jumpa MOM berkait ugutan pesuruhjaya sukan

KBS jumpa MOM berkait ugutan pesuruhjaya sukan

Pejabat Pesuruhjaya Sukan dalam kenyataan berkata pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjelaskan situasi sebenar.

Norza Zakaria membidas Suhardi Alias yang didakwa mengugut untuk membatalkan pendaftaran Majlis Olimpik Malaysia.
PETALING JAYA:
Satu perjumpaan akan diadakan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkait salah faham antara badan itu dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) Suhardi Alias.

Pejabat Pesuruhjaya Sukan dalam kenyataan berkata pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjelaskan situasi sebenar.

“KBS yakin dengan sesi perjumpaan ini, semua pihak akan mendapat pencerahan dan salah faham ini dapat diselesaikan secara baik,” menurut pejabat itu.

Sebelum ini Suhardi dilapor mengugut untuk membatalkan pendaftaran MOM sehingga menimbulkan rasa kurang senang beberapa pemimpin persatuan sukan kebangsaan.

Situasi bertambah ‘panas’ apabila Presiden MOM yang juga Presiden BAM, Norza Zakaria membidas tindakan itu, dan meminta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk campur tangan.

Kenyataan Norza itu berdasarkan satu klip audio berdurasi 1 minit 20 saat yang tular menerusi aplikasi WhatsApp memetik Suhardi mengugut membatalkan pendaftaran MOM sambil menyamakan badan sukan negara itu dengan kerajaan Israel dalam konflik di Gaza, sekali gus mencemar reputasi MOM.

Rakaman perbualan itu didakwa dibuat ketika perjumpaan antara Suhardi bersama Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) bertujuan mencari jalan perdamaian pada 14 Nov lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.