
Bekas panglima tentera darat Jen (B) Zulkiple Kassim, yang mengenali Raja Mohamed Affandi hampir 40 tahun berkata, personaliti yang ditampilkan beliau bukan dibuat-buat, sebaliknya memang watak sebenarnya.
“Saya memang mengenali beliau secara mendalam. Kalau kita lihat ucapan beliau tadi, itulah dia. Beliau seorang yang terlalu fokus kepada perkhidmatan,” katanya selepas sesi perjumpaan Affandi bersama veteran tentera.
Hari ini ialah hari ketiga kempen PRK yang menyaksikan bekas panglima angkatan tentera itu berdepan calon PAS, Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam pertembungan satu lawan satu.
Zulkiple percaya Affandi benar-benar ikhlas untuk berbakti kepada warga Kemaman dan PRK ini peluang yang baik baginya untuk merealisasikan hasrat itu.
“Saya lihat pendirian beliau lebih sebagai seorang individu yang ingin menabur jasa. Jadi beliau melihat peluang untuk menjadi Ahli Parlimen ini satu ruang untuk meneruskan aspirasi menabur jasa kepada kawasan Kemaman.
“Beliau membesar di Kemaman, jadi saya fikir dalam pemikirannya, inilah tempat terbaik untuk beliau mula berjasa pada rakyat,” katanya.
Sementara itu, bekas panglima divisyen kedua infantri, Mej Jen (B) Mohd Ramli Jaafar, yang mengenali Affandi sejak 1981 berkata, walaupun perwatakan calon BN itu seolah-olah garang, namun beliau sebenarnya seorang penyabar dan mudah didekati.
Ramli berkata, antara perkara yang paling diingati sepanjang bekerja bawah Affandi adalah bagaimana beliau menggerakkan aset tentera darat bagi membantu mangsa ketika banjir besar melanda Kemaman pada 2013.
“Ketika banjir besar pada 2013 itu, beliau mencipta satu mekanisme untuk membolehkan mangsa banjir ini dibawa (dengan segera) ke pusat perlindungan, (dengan) semua kemudahan tersedia termasuk makanan,” katanya.
Segala pengalaman dan kepakaran yang dimiliki Affandi, katanya, akan dapat membantu menyumbang kepada pembangunan Terengganu sekiranya diberikan mandat pada PRK nanti.
“Sekiranya beliau dipilih, pastinya Kemaman ini akan menjadi hub dan laluan masuk untuk pembangunan di seluruh Terengganu kerana beliau mempunyai kotak pemikiran yang luar biasa,” katanya.
Terdahulu pada majlis itu, Affandi meluangkan masa selama hampir dua jam menyantuni veteran tentera yang merupakan pengundi di kawasan Parlimen Kemaman.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Nov ini bagi tarikh mengundi awal, manakala 2 Dis hari mengundi bagi PRK Kemaman.
PRK tersebut diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada PRU15.
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab dalam PRK itu, termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.