PRK Kemaman: Semangat jentera BN-PH luar biasa, kata calon

PRK Kemaman: Semangat jentera BN-PH luar biasa, kata calon

Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata beliau nampak ada kesatuan dan matlamat jelas libat jentera parti dalam kerajaan perpaduan.

Calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata hujan lebat sejak subuh tidak menghalangnya terus berkempen. (Gambar Bernama)
KEMAMAN:
Hujan lebat sejak subuh tidak menghalang calon Barisan Nasional (BN) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor meneruskan kempennya pada PRK Kemaman.

Malah menurut Affandi, hujan berterusan itu menjadi kelebihan baginya bertemu seramai mungkin pengundi.

“Saya tidak membuang masa kerana masa bagi saya emas. Sebanyak mungkin saya cuba bertemu pengundi sejak subuh tadi. Hujan ini tak dapat kita hindar, malah kalau di beberapa tempat ia menjadi kelebihan kerana orang ramai berkumpul sebab hujan.

“Jadi, ia jadi satu kelebihan sebenarnya, bukan halangan,” katanya ditemui selepas program ramah mesra bersama jentera pusat daerah mengundi (PDM) Kampung Chabang.

Memasuki hari kedua kempen, beliau yang juga bekas panglima Angkatan Tentera berkata sambutan diterima pengundi yang ditemui setakat ini begitu menggalakkan.

Dalam masa sama, beliau turut gembira dengan semangat luar biasa ditampilkan jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) yang membantu melancarkan perjalanan kempennya.

“Saya telah bertemu banyak (jentera kempen) dan saya nampak memang kali ini luar biasa. (Kali ini) saya lihat BN dan komponen lain di bawah kerajaan perpaduan, mereka saya nampak ada kesatuan dan matlamat yang jelas dan nyata,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Nov bagi tarikh mengundi awal, manakala 2 Dis bagi hari mengundi untuk PRK Kemaman yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lalu membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada PRU15.

Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera, dan 12 pengundi tidak hadir luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.