Pemadam rancang program saringan air kencing pelajar sekolah di Perak

Pemadam rancang program saringan air kencing pelajar sekolah di Perak

Pengerusi Pemadam Mohd Azlan Helmi berkata program itu dilaksanakan dengan kerjasama polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan.

Pengerusi Pemadam Perak Azlan Helmi (dua dari kiri) berkata pendekatan itu bukan untuk menghukum tetapi menyelamatkan pelajar daripada najis dadah. (Gambar Facebook)
IPOH:
Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Perak akan bekerjasama dengan polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan Perak untuk melaksanakan program ujian saringan air kencing kepada pelajar sekolah bagi membendung penglibatan mereka dalam pengambilan dadah.

Pengerusinya Mohd Azlan Helmi berkata satu mesyuarat khusus akan diadakan pada Januari tahun depan bagi memastikan program itu dapat diselaraskan antara ketiga-tiga pihak.

“Pendekatan kami ini bukan hendak menghukum (pelajar) tetapi mahu menyelamatkan dan membawa mereka kembali ke pangkal jalan. Perkara itu paling penting.

“Kami juga mahu menyedarkan mereka bahawa usia muda ini sangatlah berharga dan perjalanannya masih jauh, jadi ia perlu dimanfaatkan dengan aktiviti yang berfaedah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Fit Mania Perak 2023 anjuran bersama Pemadam Perak dan Persatuan Kebajikan Kecergasan Komuniti Perak di Padang Rekreasi Sultan Abdul Aziz.

Terdahulu, karnival yang dihadiri lebih 300 peserta itu dianjurkan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan kepentingan menjaga kesihatan serta membudayakan amalan hidup sihat.

Azlan berkata Pemadam juga akan memperbanyakkan lagi aktiviti berkaitan pencegahan yang melibatkan semua golongan agar tahap kesedaran terhadap kemudaratan najis dadah ini dapat dipupuk secara meluas.

Tambah beliau secara tidak langsung pendekatan yang akan dilaksanakan itu turut membantu dalam memberi pengetahuan kepada masyarakat berkaitan fungsi dan bidang tugas Pemadam terhadap pencegahan dadah.

“Untuk tahun depan, kami telah susun lima program khusus berkaitan pencegahan dadah ini. Sasaran kami bukan hanya kepada belia tetapi pelbagai lapisan masyarakat.

“Namun, program yang akan dibuat ini memerlukan kerjasama daripada semua terutama masyarakat. Ini kerana kejayaan mencegah gejala ini bukan hanya dibahu kerajaan semata-mata tetapi memerlukan dukungan dan sokongan daripada masyarakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.