Pantau ajaran sesat Mhd Mohib Khouli Nazem, menteri beritahu agensi

Pantau ajaran sesat Mhd Mohib Khouli Nazem, menteri beritahu agensi

Menteri Mohd Na'im Mokhtar berkata pejabatnya bekerjasama rapat dengan polis bagi membendung segala bentuk ajaran sesat bergerak secara 'rahsia'.

Mohd Na’im Mokhtar menyantuni asnaf pada program Ziarah Asnaf Siri 4 di sekitar Wangsa Maju. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Semua agensi kelolaan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) termasuk Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan diminta memantau dan menghentikan penyebaran ajaran sesat Mhd Mohib Khouli Nazem.

Menteri Mohd Na’im Mokhtar berkata pejabatnya juga sentiasa bekerjasama rapat dengan polis bagi membendung segala bentuk ajaran sesat yang bergerak secara “rahsia”.

“Kita hendak pastikan ajaran itu tidak tersebar luas dan menyeleweng akidah masyarakat Islam di negara kita,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni asnaf pada program Ziarah Asnaf Siri 4 di sekitar Wangsa Maju.

Beliau mengulas kebimbangan masyarakat mengenai ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem yang difatwakan sebagai sesat oleh Pejabat Mufti Terengganu pada 16 Nov lalu.

Na’im turut mengingatkan umat Islam merujuk kepada pakar dan mereka yang berpengetahuan serta mematuhi sebarang fatwa berkaitan supaya tidak terikut dengan ajaran yang mampu memesongkan akidah.

Sementara itu, menyentuh usaha menyantuni asnaf, Na’im berkata masyarakat setempat juga perlu memainkan peranan bagi membantu agensi berkaitan mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan.

“Bila nampak mana-mana jiran atau penduduk yang memerlukan bantuan, ada kalangan asnaf yang sakit, kita harapkan kerjasama masyarakat. Inilah asas kepada pembentukan negara dan masyarakat Madani yang dihasratkan perdana menteri. Masyarakat yang sentiasa cakna melihat kesusahan orang lain dan cepat cari jalan macam mana nak bantu,” katanya.

Nai’im diiringi Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Mohd Daud Bakar bersama Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP hari ini menziarah dan menyampaikan bantuan kepada tiga asnaf yang terlantar sakit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.