
Lebih bermakna lagi, lawatan beliau yang juga menteri perladangan dan komoditi ke Shanghai dan Beijing itu dimuktamadkan dengan komitmen negara Tembok Besar berkenaan untuk meningkatkan jumlah eksport sawit kepada 3.4 juta tan pada tahun depan berbanding kira-kira 3.14 juta tan pada masa ini.
Rasionalnya, komitmen China ini penting kerana selain mempunyai pasaran dari segi populasi kira-kira 1.4 bilion penduduk, Beijing juga berperanan penting sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lepas.
Pada 2022, nilai eksport produk agrikomoditi Malaysia ke China menyumbang sebanyak 12.8% daripada jumlah eksport komoditi pertanian Malaysia di pasaran antarabangsa yang bernilai RM26.46 bilion – peningkatan sebanyak 11% berbanding 2021.
Nilai eksport produk berasaskan sawit ke China pada 2022 adalah RM16.41 bilion manakala nilai eksport minyak sawit Malaysia ke China pada tahun yang sama adalah sebanyak RM8.44 bilion.
“Saya kira ini satu misi yang amat berjaya. Walaupun kita mempunyai jadual yang padat tetapi ia amat bermakna dengan perbincangan produktif selain respons mereka yang sebegitu positif.
“Apa sahaja yang kita bincang dan kita kemukakan, mereka menyambutnya dengan baik dan komited untuk meningkatkan perdagangan dengan Malaysia,” kata Fadillah kepada media Malaysia pada akhir lawatan berkenaan.
Lawatan sulung beliau juga bersempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif di antara Malaysia dan China manakala tahun depan menyaksikan kedua-dua negara ini menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.
Menyentuh produk sawit, Fadillah berkata kedua-dua kerajaan akan berusaha untuk menyelesaikan isu-isu perdagangan yang melibatkan tokotrienol sawit (vitamin e) Malaysia ke negara itu selain menggalakkan kerjasama institut-institut penyelidikan mengenai aplikasi teknologi terkini dalam industri komoditi.
Malah, beliau berkata China juga mengalu-alukan MSPO Malaysia yang akan membantu kedua-dua negara mencapai sasaran matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Selain itu, Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia (KPK) dan Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China akan berbincang dan dijadual memeterai satu memorandum persefahaman (MOU) bagi mewujudkan mekanisme dua hala pada tahun depan.
“Kita telah bersetuju untuk merangka MOU itu yang diharap dapat dimeterai dalam tempoh empat bulan bersempena ulang tahun ke- 50 hubungan diplomatik kedua-dua buah negara,” kata beliau.