
Tertuduh, Nordin Ahmad Maat, yang sepatutnya menamatkan zaman bujang bulan depan dijatuhi hukuman penjara 14 hari, dan enam bulan penjara jika gagal membayar denda.
Nordin yang bekerja kebun membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid, lapor Berita Harian.
Dia didakwa menceroboh surau dengan niat untuk melakukan jenayah dengan kejadian itu berlaku pada 11.31 malam, 9 Nov.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh berseorangan dilaporkan memasuki surau terbabit untuk mencuri duit tabung.
Perbuatan tertuduh berjaya dikesan salah seorang kariah surau selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di telefon bimbit.
Pengadu kemudian memanggil rakannya lalu ke surau terbabit dan melihat sebuah motosikal di parkir di hadapannya. Tertuduh yang menyedari kehadiran pengadu kemudian bertindak melarikan diri dengan memanjat pagar belakang surau terbabit.
Berikutan itu, pengadu membuat laporan polis sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.
Semakan mendapati tertuduh mempunyai empat rekod lampau pada 2019, iaitu dua rekod bagi Seksyen 411 manakala Seksyen 448 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan, masing-masing satu kes.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki manakala tertuduh diwakili Norain Sakina Zakri daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).