
Ketua Pengarah Bomba Abdul Wahab Mat Yasin, berkata pasukan itu juga bakal dilengkapi dengan pelbagai aset khas dan jika perkhidmatan mereka diperlukan, ia akan terus digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebagai contoh di zon Pantai Timur, pasukan ini ditempatkan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di Terengganu, manakala pasukan zon Selatan, ditempatkan di Balai Bomba Kluang, Johor.
“Bagi zon Utara, pasukan itu akan ditempatkan di Pangkalan Udara Bomba Bertam, Pulau Pinang manakala di zon Borneo, mereka ditempatkan di Miri, Sarawak. Pasukan ini akan membantu pemindahan mangsa yang terkepung akibat banjir,” katanya menurut Bernama ketika diminta mengulas persediaan bomba berdepan banjir susulan MTL.
Wahab juga berkata, bomba memiliki sembilan pesawat pelbagai jenis yang akan digunakan untuk memindahkan mangsa banjir dan menghantar bekalan makanan ke lokasi diperlukan khususnya di pedalaman.
“Kita juga telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan. Kita bukan hanya membantu menghantar pesakit ke hospital jika berlaku kecemasan malah kami juga bersedia menerbangkan doktor dan jururawat ke lokasi yang diperlukan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat terutama warga emas, individu kurang sihat, ibu mengandung, dan kanak-kanak untuk berpindah secepat mungkin jika terdapat tanda-tanda bakal berlaku banjir di kawasan kediaman mereka.
“Seluruh negara sekarang ada 5,648 lokasi panas banjir yang telah dikenal pasti dan di Kedah sahaja ada 259 lokasi panas, tetapi kita telah bersedia sekiranya berlaku hujan yang luar biasa selain membuat rondaan di kawasan berkenaan,” katanya.