16 lembu disyaki diracun, penternak rugi RM40,000

16 lembu disyaki diracun, penternak rugi RM40,000

Sebanyak 16 lembu milik penternak dari Permaisuri bergelimpangan dengan mulut berbuih dan darah keluar melalui hidung, mulut serta dubur.

Muhammad Saad mengesyaki ternakannya diracun kerana semua lembu dilihat mati dalam keadaan sama iaitu mulut berbuih selain penemuan tiga tong berisi air dipercayai dicampur racun.
PERMAISURI:
Seorang penternak kerugian kira-kira RM40,000 selepas 16 ekor lembu peliharaannya mati, disyaki diracun dalam kejadian di Kampung Seri Kenangan, kira-kira 5 petang semalam.

Muhammad Saad, 62, berkata kejadian itu disedari seorang penduduk yang kebetulan dalam perjalanan ke kebunnya bersebelahan lokasi kejadian, dan selepas diperiksa beliau mendapati 16 ekor lembu peliharaannya bergelimpangan dengan mulut berbuih dan darah keluar melalui hidung, mulut serta dubur.

Beliau mengesyaki ternakannya diracun kerana semua lembu itu dilihat mati dalam keadaan sama, iaitu mulut berbuih dan darah di sana sini, selain penemuan tiga tong berisi air dipercayai dicampur racun serta bahan lain di kawasan berhampiran.

“Kejadian seperti ini pertama kali berlaku, dan saya amat kesal dengan tindakan pelakunya yang sungguh tidak berperikemanusian,” katanya ketika dihubungi.

“Saya memang tak buat kandang khas untuk lembu kerana semua kebun di kawasan ini berpagar, memang lembu tak boleh masuk. Lembu ini pun saya lepas di kawasan lapang yang tiada orang. Dalam tempoh 30 tahun ini tak pernah ada penduduk kampung merungut lembu mengacau tanaman atau sebagainya,” katanya.

Muhammad berkata sudah membuat laporan polis dan memaklumkan kejadian itu kepada pihak veterinar untuk bantuan di samping tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.