
Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah erniza Roxanne Marcus berpendapat dana daripada subsidi itu dapat disalurkan untuk R&D bagi menghasilkan baka ayam yang lebih baik dan berkualiti tinggi.
Selain itu katanya, ia juga dapat membantu penternak ayam tempatan yang bersaiz kecil dan sederhana meningkatkan produktiviti serta kualiti pengeluaran masing-masing.
“Pada masa sama, kaedah ini dapat meningkatkan pengeluaran bekalan ayam domestik dan mengurangkan kebergantungan negara kepada ayam import untuk memenuhi permintaan bekalan dalam pasaran tempatan,” katanya kepada Bernama.
Pada 30 Okt lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kerajaan mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.8 bilion bagi menampung kos ayam dan telur sejak Februari tahun lepas.
Herniza Roxanne berkata dana daripada penjimatan subsidi ayam juga boleh digunakan untuk meningkatkan pelbagai inisiatif sosioekonomi dan kebajikan rakyat terutama di Sabah antaranya bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), membina sekolah, hospital, klinik serta kemudahan asas lain.
Beliau berkata bantuan kepada penternak bertaraf PKS khususnya sudah tentu akan memperkasakan industri itu kerana ia merupakan penyedia peluang pekerjaan yang signifikan kepada rakyat terutamanya di Sabah.
“Kerajaan perlu merancang dengan teliti bagi memastikan pelaburan daripada dana itu dapat disalurkan kepada rakyat dengan saksama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pemantauan harga ayam yang telah diapungkan juga perlu ada situasi menang-menang dalam rangkaian pengeluaran ayam di pasaran supaya pengguna tidak terbeban dengan harga yang berubah-ubah.
Herniza Roxanne berkata langkah itu bagi mengelak agar tiada pihak yang akan mengambil kesempatan mahupun menjadikannya sebagai “lesen” untuk mendominasi harga ayam di pasaran.
Pada masa sama, katanya kerajaan juga perlu memastikan bekalan ayam sentiasa mencukupi bagi mengelakkan harga ayam melambung naik terutamanya pada musim perayaan.
Presiden Persatuan Barisan Pengguna Sabah (CFOS) Nordin Thani berpendapat, sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan program atau insentif tertentu untuk mewujudkan penternakan ayam dalam kalangan petani atau pekebun kecil, komuniti setempat melalui koperasi sedia ada.
Beliau berkata ini mampu direalisasi menerusi dana daripada penjimatan subsidi ayam itu, dengan latihan dan pendidikan dalam bidang penternakan khususnya ternakan ayam juga harus diperkenalkan dengan lebih meluas kerana negara masih mempunyai kawasan tanah yang luas dan terbiar.