Polis siasat identiti ‘Mr H’ terkait video Agus-‘Wahab’

Polis siasat identiti ‘Mr H’ terkait video Agus-‘Wahab’

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata polis akan memanggil semua terbabit dalam video tular itu.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan telah mengambil keterangan daripada Mohammad Agus Yusoff. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis masih menyiasat identiti ‘Mr H’ didakwa mempunyai kaitan penyebaran video tular membabitkan bekas ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff dengan individu dikenali “Wahab”.

“Perkara itu masih dalam siasatan dan polis akan memanggil semua yang terlibat dalam kes ini,” kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan menurut Sinar Harian.

Beliau turut mengesahkan telah mendapat keterangan daripada Agus.

Semalam, Agus yang meletak jawatan ketua pengarah J-Kom, Khamis lalu mendakwa video perbualan tular yang dikaitkan dengan dirinya sebagai disuai pinda dan disunting.

Beliau mengkritik penularan video tersebut, mengatakan pihak tertentu menggunakan tuduhan seksual terhadapnya.

“Wahab” yang diperkenalkan sebagai individu lain dipaparkan dalam video tular tersebut dikenal pasti sebagai Abdul Wahab Abdul Kader, yang bekerja di J-Kom sebagai pembantu pegawai komuniti daerah.

Beliau menyokong dakwaan bahawa video tersebut disunting, oleh pihak yang cuba menjatuhkan reputasi Agus, selain mendakwa komplot itu “didalangi oleh individu-individu berjawatan tinggi di dalam J-Kom”.

Salah seorang daripadanya dikenali ‘Mr H’.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Latihan dan Pendidikan J-Kom Muhamad Hakim Ramlee yang didakwa ‘Mr H’ menafikan dakwaan dibuat seorang penulis blog.

“Tuduhan ini sangat random (rambang), saya pun tak tahu. Tiba-tiba (dikaitkan dengan Mr H), macam mana boleh naik saya sebagai Mr H?” katanya menurut Berita Harian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.