
Beliau berkata, selain Universiti AIMST yang beroperasi sejak 2001 di Kedah, sebuah kolej akan ditubuhkan tahun depan di Selangor bagi menawarkan kursus ijazah menerusi kerjasama dengan universiti lain untuk golongan belia.
“Kita ada banyak kursus yang belia mahu ambil tetapi tiada dalam kursus tawaran Universiti AIMST, maka kita membuat keputusan untuk mewujudkan kolej bagi menawarkan ijazah dari universiti lain.
“Selain membolehkan lebih ramai anak kaum India dapat melanjutkan pelajaran, kolej berkenaan juga akan membantu belia kaum lain,” katanya dalam ucapan dasar dan perasmian pada Perhimpunan Agung MIC ke-77 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Tanpa memberikan perincian, beliau juga mengumumkan hasrat parti berusia 77 tahun itu untuk menubuhkan sebuah hospital AIMST.
Vigneswaran berkata, penubuhan kolej dan hospital AIMST itu juga antara lain dapat memastikan MIC terus kuat dan “berdiri di atas kaki sendiri” tanpa bergantung kepada mana-mana pihak dalam soal kewangan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana menyalurkan peruntukan RM25 juta untuk Universiti AIMST yang diumumkan kerajaan terdahulu.
Universiti AIMST yang menawarkan jurusan perubatan, sains dan teknologi merupakan universiti swasta bawah Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), yang dimiliki MIC.
Sementara itu, Vigneswaran menggesa ketua-ketua cawangan parti itu untuk mentransformasi dan meremajakan parti kaum India itu agar terus kekal relevan dalam perubahan landskap politik tanah air, sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan MIC.
Pada sidang media selepas itu, Vigneswaran berkata MIC tidak akan melobi untuk sebarang jawatan dalam kerajaan perpaduan, namun akan menjalankan tugas dan tanggungjawab sekiranya ditawarkan.
Terdahulu, Vigneswaran dan Timbalan Presiden MIC M Saravanan melancarkan buku “Perjuangan Politik Komuniti India dan Kepimpinan MIC (1946-2020)”.