Malaysia raih pelaburan RM63 bilion di AS, kata PM

Malaysia raih pelaburan RM63 bilion di AS, kata PM

Daripada jumlah itu pelaburan RM8.33 bilion adalah misi perdagangan dan pelaburan ke AS dianjurkan sebelum bermula mesyuarat Apec.

Anwar Ibrahim berkata pelaburan bagi misi perdagangan itu antaranya daripada Abbott Laboratories, Amsted Rail, Hematogenix, PerkinElmer dan Ford Motor Company. (Gambar Bernama)
SAN FRANCISCO:
Malaysia meraih pelaburan sebanyak RM63.02 bilion bagi cadangan pelaburan di Amerika Syarikat (AS) terutama daripada syarikat gergasi teknologi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Daripada jumlah itu, pelaburan sebanyak RM8.33 bilion adalah daripada misi perdagangan dan pelaburan ke AS yang dianjurkan sebelum bermulanya mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec), manakala pelaburan selebihnya adalah daripada mesyuarat satu dengan satu diadakan oleh Anwar di sini.

Pelaburan bagi misi perdagangan ini adalah daripada Abbott Laboratories, Mondelez International, Amsted Rail, Hematogenix, PerkinElmer, Ford Motor Company, Boeing, Amazon Web Services, Enovix dan Lam Research.

“(Pelaburan) selebihnya telah diraih daripada pertemuan berasingan dengan gergasi teknologi seperti Google, Enovix Corporation, Microsoft, TikTok dan TPG,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatannya ke AS hari ini.

Mengulas lanjut, menteri kewangan turut menyifatkan pelaburan TikTok sebagai agak besar dan ini turut bergantung kepada tempoh pantas Malaysia dalam meluluskan semua pelaburan berkenaan.

“Dalam mempertimbang apa-apa juga ruang kelulusan dan insentif yang diperlukan, saya lebih menekankan soal pemindahan teknologi dan latihan. Ini supaya kita ada tahap keupayaan dalam bidang diterokai yang lebih canggih dan mencabar,” katanya.

Malaysia juga aktif dalam menarik kehadiran kalangan penggiat kenderaan elektrik (EV), termasuk syarikat terkemuka seperti Tesla.

“Ya, beliau (Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk) positif mengenai kehadiran Tesla di Malaysia,” katanya ketika ditanya mengenai panggilan video bersama Musk.

Malah, Anwar turut menganggap kehadiran Tesla di Malaysia sebagai satu petunjuk yang baik terhadap negara selain memberi manfaat dari segi pertambahan jumlah Stesen Pengecas Super bagi kenderaan EV.

Pendirian Malaysia mengenai kepentingan usaha menarik pelaburan turut disuarakan perdana menteri pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Apec 2023, khususnya berkaitan aspek dasar pelaburan yang jelas dan konsisten.

“Pelaksanaan polisi dan strategi ini yang memainkan peranan dalam menarik pelaburan ke dalam negara.

“Keperluan mewujudkan kemudahan pusat sehenti mengenai pelaburan adalah penting, namun agensi sehenti ini juga perlu lebih proaktif dalam memudah cara dan mempercepat proses serta prosedur pelaksanaan berkaitan pelaburan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.