Tak perlu bazir masa ‘balas dendam’, kata Rafizi

Tak perlu bazir masa ‘balas dendam’, kata Rafizi

Timbalan presiden PKR berkata, semua parti kerajaan perpaduan bersetuju mengetepikan perbezaan dan mengutamakan pembinaan negara.

Rafizi Ramli berkata, pihak menggesa undang-undang antilompat parti dikaji semula sepatutnya melihat untuk meminda perlembagaan parti sendiri. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mengungkit perkara lampau untuk “membalas dendam” tidak akan memanfaatkan rakan gabungan dalam kerajaan perpaduan, kata Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Mengulas dakwaan bahan kempen Barisan Nasional (BN) pada PRU15, yang mendakwa pemimpin DAP ada kaitan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, beliau berkata, tiada gunanya membangkitkan isu itu sekarang.

“Tak perlu ungkit rungutan lampau. Kita di persimpangan sejarah unik susulan keputusan PRU15,” katanya dalam sidang media di Asia School of Business.

“Semasa kita bersetuju menubuhkan kerajaan perpaduan, kita buat keputusan mengetepikan perbezaan dan memastikan fokus diberikan bagi (pembangunan) negara.

“Saya tak fikir ada orang dalam kerajaan perpaduan mahu menghabiskan terlalu banyak masa untuk membalas dendam. Ia tidak membantu masyarakat. Tugas kita ialah fokus gambaran lebih besar, iaitu pembinaan negara.”

Semalam, Wan Saiful Wan Jan daripada Bersatu menggesa Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mengambil tindakan undang-undang terhadap BN, sekutu dalam kerajaan perpaduan, atas dakwaan menerbitkan bahan kempen mengaitkan pemimpin DAP kepada Chin Peng.

Beliau mendakwa buku “Bahan kempen komunikasi BN” yang dikeluarkan menjelang PRU15 tahun lalu, “membuktikan kaitan DAP dan Chin Peng dimulakan BN”.

Ini selepas Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Mohamad disoal siasat polis Selasa lalu, susulan laporan terhadap ceramah di Terengganu pada 4 Nov lalu, di mana beliau mendakwa veteran DAP, Lim Kit Siang dan Chin Peng adalah sepupu.

Timbalan ketua Wanita PAS itu turut mengulangi dakwaan lain, yang boleh didapati dalam buku sama, seperti Guan Eng dan Kit Siang sepupu kepada bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew, manakala Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sepupu kepada isteri Guan Eng, Betty Chew, serta beberapa pemimpin DAP mempunyai pertalian darah dengan keluarga Lim.

Mastura berkata, beliau memberikan bahan rujukan yang menjadi asas ucapannya kepada polis, tetapi tidak menyatakan sama ada beliau merujuk bahan sama dibangkitkan Wan Saiful dan pemimpin Bersatu itu juga tidak mengaitkan Mastura dengan buku itu semasadalam sidang akhbarnya.

Sementara itu, Rafizi berkata, pihak menggesa undang-undang antilompat parti dikaji semula sepatutnya melihat untuk meminda perlembagaan parti sendiri. Katanya, perkara itu belum dibincangkan Jemaah Menteri.

Pada 9 Nov lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin mendakwa undang-undang antilompat parti cacat dan perlu dikaji semula selepas empat Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Parti itu kemudian menggantung dua Ahli Parlimen terbabit.

Selasa lalu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, Bersatu perlu mencontohi DAP dalam meminda perlembagaannya bagi menghalang Ahli Parlimen mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.