Pertuduhan warga emas halang anggota MBPJ tangkap anjing liar diteruskan

Pertuduhan warga emas halang anggota MBPJ tangkap anjing liar diteruskan

Peguam berkata mereka akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan kes terhadap warga emas itu.

Patrick Khoo didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi menangkap anjing liar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara telah memutuskan untuk meneruskan pertuduhan terhadap seorang warga emas kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, walaupun pengadu telah menarik balik laporannya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal memberitahu Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa hari ini, pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menarik balik aduannya terhadap Patrick Khoo.

Beliau juga berkata pegawai penguat kuasa MBPJ telah memberikan kenyataan kepada polis mengesahkan perkara sama.

Nurul Sofea bagaimanapun berkata, pihak pendakwaan memutuskan untuk meneruskan pertuduhan terhadap Khoo, 69, tanpa memberikan alasan.

Peguam Khoo, Rajsurian Pillai dan Tay Chee Fu, kemudian meminta pihak pendakwaan memberikan dokumen itu kepada mereka.

Rajsurian juga berkata pihak pembelaan akan mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan untuk mempertimbangkan pengguguran kes itu memandangkan aduan awal telah ditarik balik oleh pegawai penguat kuasa MBPJ.

Shahril Anuar kemudian menetapkan tarikh penyerahan dokumen dan keputusan representasi pada 22 Dis.

Khoo mengaku tidak bersalah pada 31 Mac lalu atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas semasa operasi menangkap anjing liar. Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Insiden itu dilaporkan berlaku di Taman Kanagapuram, Petaling Jaya, pada 22 Mac. Sebuah video yang tular, menunjukkan berlaku kekecohan antara seorang lelaki dan beberapa pegawai penguat kuasa.

Terdahulu, Khoo tiba di Mahkamah Majistret di sini dengan kerusi roda kerana sakit. Ditanya bagaimana perasaannya mengenai keputusan pihak pendakwaan untuk meneruskan pertuduhan, katanya: “Saya akan menunggu peguam merayu dan merumuskan kedudukan (kami).”

Turut hadir di mahkamah ialah Amy Wong dari My Forever Doggo dan aktivis haiwan Asther Lau dan William Lim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.