
Hakim Azura Alwi berkata beliau memerlukan masa untuk meneliti kenyataan Zarul Ahmad Zulkifli setebal 108 muka surat yang direkodkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018.
Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim, menyatakan kepada mahkamah bahawa mereka mahukan salinan kenyataan Zarul, supaya boleh menunjukkan sebarang “percanggahan”.
Azura kemudian berkata beliau akan memutuskan sama ada terdapat percanggahan dalam kenyataan Zarul.
Awal bulan ini, mahkamah membenarkan Lim memulakan prosiding mencabar kredibiliti Zarul. Peguamnya mendakwa Zarul memberikan kenyataan “bercanggah” kepada SPRM berhubung bayaran yang dikatakan sebanyak RM2 juta.
Bulan lalu, Zarul memberi keterangan bahawa pada 2017, beliau membayar sejumlah RM4 juta kepada Lim dan perdana menteri ketika itu Najib Razak.
Bayaran itu adalah sebahagian daripada sogokan yang didakwa diterima Lim daripada projek terowong itu, katanya.
Beliau juga mendakwa RM2 juta lagi bertujuan untuk diberikan Najib kerana beliau berpendapat bekas perdana menteri itu akan berada dalam kedudukan untuk “mempengaruhi” SPRM bagi menutup siasatan terhadapnya.
Lim sedang dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk meminta Zarul balasan berjumlah 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut, dan menerima RM3.3 juta daripada ahli perniagaan itu.
Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu juga didakwa atas dua tuduhan menyebabkan lot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju.