MAIPs rayu keputusan mahkamah tolak ubah perintah jagaan anak Loh

MAIPs rayu keputusan mahkamah tolak ubah perintah jagaan anak Loh

Rayuan itu akan didengar pada 10 Jan depan, hari sama dengan pendengaran rayuan Loh Siew Hong mengetepikan penukaran agama anaknya secara sepihak.

Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis mahu Mahkamah Rayuan mengubah perintah hak penjagaan tiga anak yang diperoleh Loh Siew Hong. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Rayuan Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk mengubah perintah hak penjagaan tiga kanak-kanak yang ditukar agama secara sepihak akan didengar 10 Jan depan.

Gunamalar Joorindanjn yang mewakili ibu mereka, Loh Siew Hong, berkata rayuan MAIPs dipercepatkan kerana ia difailkan di bawah perakuan segera. Tarikh itu ditetapkan susulan permintaan oleh peguam MAIPs, Ali Huzaifah Sharif Ahmed, ketika pengurusan kes semalam.

MAIPs memohon untuk mengubah perintah hak penjagaan diperoleh Loh dalam perceraiannya dengan bekas suami, Muhammad Nagahswaran Muniandy, yang memeluk Islam.

Mahkamah Tinggi pada 11 Okt lalu menolak permohonan MAIPs kerana berpandangan ia tidak memberi manfaat kepada kanak-kanak terbabit, yang memaklumkan mereka tidak berhasrat untuk kekal beragama Islam.

Badan agama itu minta diberikan akses kepada kanak-kanak terbabit – dua perempuan kembar berusia 15 tahun dan seorang lelaki 11 tahun – sekali setiap dua minggu untuk memberi mereka pendidikan Islam dan menyertai perayaan keagamaan.

MAIPs juga mahu membawa kanak-kanak lelaki ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat Jumaat, memberi bantuan kewangan kepada tiga beradik itu dan membayar elaun kepada Loh sebagai penjaga mereka.

Rayuan MAIPs ini jatuh pada hari sama dengan rayuan Loh untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan tiga anaknya beragama Islam, susulan ditukar agama tiga tahun lalu tanpa kebenarannya.

Bekas suaminya membawa tiga kanak-kanak itu ke Perlis pada 6 Julai 2020, di mana agama mereka ditukar tanpa kebenaran ibu mereka. Pada 25 Mac 2022, Loh memfailkan saman memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa peruntukan dalam enakmen Perlis yang membenarkan ibu atau bapa menukar agama anak bawah umur secara sepihak adalah tidak mengikut Perlembagaan.

Beliau turut memohon perintah certiorari untuk membatalkan pendaftaran penukaran agama tiga anaknya oleh pendaftar pada 7 Julai 2020. Tetapi hakim pada 11 Mei lalu menolak permohonannya atas alasan sijil penukaran agama yang dikeluarkan bukti muktamad penukaran agama mereka.

Loh merayu terhadap keputusan itu.

Mahkamah Persekutuan pada 2018 membatalkan pertukaran agama kanak-kanak secara sepihak, dan menetapkan bahawa sebarang pertukaran agama memerlukan persetujuan ibu dan bapa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.