
Tarikh itu ditetapkan oleh timbalan pendaftar selepas pengurusan kes dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan Zander Lim Wai Keong, serta Hamidi Noh yang mewakili Zahid selaku peguam.
Sumber itu juga berkata, peguam negara masih belum membuat keputusan mengenai representasi yang dikemukakan oleh Zahid supaya rayuan itu ditarik balik walaupun setelah beberapa penangguhan diberikan oleh mahkamah.
Zahid mengemukakan representasi pada Januari.
Rayuan juga telah ditetapkan untuk sebutan pada 29 Jan bagi pihak-pihak untuk memaklumkan kemas kini mengenai keputusan representasi kepada timbalan pendaftar.
“Pendengaran rayuan akan diteruskan seperti ditetapkan sekiranya representasi ditolak,” kata sumber itu.
FMT telah menghubungi timbalan pendakwa raya dan Hamidi untuk mendapatkan maklum balas.
Pada 23 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Zahid daripada semua 40 tuduhan menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) bagi menyambung kontrak syarikat menguruskan VLN.
Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Yazid Mustafa memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zahid, yang juga presiden Umno.
Pihak pendakwaan sekali lagi memfailkan rayuan terhadap keputusan pembebasan itu pada 26 Sept. Pada 29 Dis, pihak pendakwaan memfailkan petisyen rayuannya, menyebut 15 alasan.
Pihak pendakwaan mendakwa Yazid salah arah dengan membandingkan fakta kes ini dengan fakta kes lain.
Pihak pendakwaan berkata, Yazid juga terkhilaf dalam penilaiannya terhadap kredibiliti tiga saksi utama pendakwaan, iaitu bekas pengarah UKSB Harry Lee, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan.
Katanya, hakim gagal mengambil kira keterangan saksi bahawa lejar yang dikemukakan sebagai keterangan di mahkamah merupakan “dokumen semasa”.
Pihak pendakwaan seterusnya berhujah bahawa Yazid terkhilaf apabila memutuskan sumber wang yang digunakan UKSB untuk membayar Zahid perlu dijelaskan dan dibuktikan, sedangkan undang-undang memperuntukkannya.
Zahid, 70, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB antara 2014 dan 2018 semasa menjadi menteri dalam negeri dan timbalan perdana menteri bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Dia juga didakwa atas tujuh pertuduhan lain, iaitu mendapatkan untuk dirinya sendiri sejumlah SGD1.15 juta, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan USD15,000 daripada syarikat yang sama berhubung tugas rasminya.