Isu kekurangan guru bahasa Cina, Tamil bersifat sementara, kata Fadhlina

Isu kekurangan guru bahasa Cina, Tamil bersifat sementara, kata Fadhlina

Fadhlina Sidek berkata KPM telah berbincang dengan pengurusan SJKC dan SJKT untuk mengatasi masalah itu.

Fadhlina Sidek berkata sebanyak 6,859 jawatan telah diisi untuk mata pelajar bahasa Cina di SJKC. (Gambar File)
PETALING JAYA:
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan isu kekurangan guru di sekolah Cina dan Tamil bersifat sementara yang akan diatasi.

Beliau berkata pihaknya telah berbincang dengan pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil untuk menentukan hala tuju pendidikan sepanjang tahun ini bagi memastikan kebimbangan setiap pemegang taruh ditangani dengan sewajarnya.

“Kementerian Pendidikan (KPM) telah melaksanakan semakan daftar opsyen melalui proses penandaan opsyen guru Bahasa Cina di semua sekolah.

“Setiap proses berkenaan unjuran guru dilaksanakan dengan teliti bersandarkan kepada data yang telah disahkan serta menerusi sesi libat urus dengan pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, langkah intervensi itu penting bagi memastikan hanya data rasmi dan tepat dijadikan rujukan berkaitan unjuran kekurangan guru bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Semalam, Dong Jiao Zhong membidas Fadhlina yang didakwa tidak profesional kerana mengeluarkan kenyataan mengenai tiada keperluan melatih guru tambahan untuk mata pelajaran bahasa Cina dan Tamil kerana menjangkakan lebihan guru tersebut untuk enam tahun seterusnya.

Katanya, KPM telah tersilap mengumpulkan statistik mengenai tenaga pengajar di sekolah terbabit sambil menegaskan ia tidak menggambarkan permintaan sebenar guru di sekolah rendah Cina.

Fadhlina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata akan ada lebihan guru mata pelajaran Cina dan Tamil di sekolah vernakular dari 2024 hingga 2029.

Menurutnya, setakat 29 Sept tahun ini, sebanyak 6,859 jawatan telah diisi untuk mata pelajaran bahasa Cina di SJKC, berbanding 6,319 yang diperlukan.

Bagi mata pelajaran bahasa Tamil di SJKT pula, ada lebihan 308 guru berbanding 1,433 guru yang diperlukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.