Warga emas OKU ditemukan maut dalam telaga

Warga emas OKU ditemukan maut dalam telaga

Mangsa yang berusia 80 tahun sebelum ini tinggal seorang diri di rumahnya di Kupang, Baling, dan masih dalam keadaan sihat.

Mayat mangsa berusia 80 tahun itu ditemukan di dalam telaga di belakang rumahnya oleh seorang jiran, yang juga saudaranya.
PETALING JAYA:
Seorang warga emas mengalami kurang upaya pendengaran dan percakapan ditemukan maut di dalam sebuah telaga di kawasan rumahnya di Kupang, Baling petang semalam.

Mangsa, Umi Kalsom Jasin, 80, ditemukan oleh seorang saudara yang juga jirannya pada kira-kira 4.30 petang, lapor Kosmo.

Menurut polis, saudaranya menyatakan beliau ternampak mangsa, yang tinggal seorang diri di rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah dan masih dalam keadaan sihat, memotong rumput di belakang rumah kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

“Saudaranya itu kemudian mendapati mangsa tiada di rumah dan cuba mencarinya di kawasan sekitar sebelum menemukan mayat mangsa di dalam sebuah telaga di belakang rumah dengan jarak kurang 10m.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa dan kawasan sekitarnya tidak menjumpai sebarang unsur jenayah,” kata Ketua Polis Baling Shamsudin Mamat.

Sementara itu, sepupu mangsa, Mohd Nor Hashimi Md. Isa, 54, berkata sebelum kejadian, mangsa pergi ke kedai berhampiran untuk membeli ikan dan barang keperluan lain.

Tambahnya, mayat mangsa ditemukan selepas saudara yang juga jirannya tergerak hati untuk mencari mangsa di kawasan sekeliling rumah selepas mendapati barangan yang dibelinya masih diletakkan di tempat sama di dalam rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.